MARANG – Arwah baru sahaja membeli kereta terpakai itu tiga hari lalu. Tak sangka dia menemui ajal hari ini (semalam),” kata Syed Mohd Hasrul Afizi Syed Abdul Fattah Sallahudin, 27, abang kepada Syed Mohd Azrin, 23, yang maut selepas kereta dipandu terbabit dalam kemalangan di Jambu Bongkok, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi di Kilometer 50.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan itu, mangsa, Syed Mohd Azrin yang dalam perjala-nan dari Dungun ke Kuala Terengganu dipercayai gagal mengawal kenderaan melalui selekoh lalu terbabas ke kiri jalan.
Kereta jenis Proton Wira itu kemudiannya berpusing sebelum bahagian kanan kenderaan menghentam sebatang pokok di kiri jalan.
Akibat rempuhan, mangsa tercampak keluar dan meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala.
Abangnya, Syed Mohd Hasrul ketika ditemui di tempat kejadian berkata, mangsa ketika itu dalam perjalanan ke pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Terengganu untuk menukar nama kenderaan yang baru dibeli dengan harga RM10,000 tiga hari lalu.
Menurutnya, arwah bekerja bersamanya sebagai pemerhati keselamatan di sebuah syarikat keselama-tan swasta di Paka dan ketika ini sedang bercuti serta tinggal bersama rakannya sejak beberapa hari lalu bagi menyelesaikan urusan jual beli keretanya itu.
“Saya terpinga-pinga selepas dimaklumkan mengenai kejadian kemala-ngan itu lalu bergegas memandu dari Paka bersama isteri dan anak ke tempat kejadian. Walaupun melihat sendiri, saya masih tidak dapat menerima arwah telah pergi meninggalkan kami,” katanya.
Mangsa yang masih belum berkahwin merupakan anak keempat daripada enam beradik juga merupakan anak kerani di Pejabat Agama Daerah Marang, Syed Abdul Fattah Sallahudin, 50,
Sementara itu, seorang saksi, Syed Ahmad Nadzif Syed Abdullah, 28, yang ketika itu dalam perjalanan dari Marang ke Dungun berkata, sebelum kejadian mangsa terbabit yang datang dari arah bertenta-ngan memandu kenderaannya dengan laju.
“Saya lihat sendiri kereta arwah terbabas ke tepi jalan dan berpusing sebelum sisi kanan kereta menghentam sebatang pokok dan dia (arwah) tercampak keluar dari kenderaan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di tempat kejadian.
Menurutnya, selepas menyaksikan detik mencemaskan itu dia segera memberhentikan keretanya di tepi jalan untuk memberikan pertolongan kepada mangsa namun mendapati arwah tidak lagi bergerak dengan darah mengalir dari bahagian kepala.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan mengenai kejadian tersebut dan meminta pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati terutama dalam keadaan cuaca buruk ketika ini.
“Mereka (pengguna jalan raya) juga perlu sentiasa peka dengan keadaan jalan yang licin dan perlu sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan dan kita tidak menolak kemungkinan mangsa memandu kenderaannya dengan kelajuan yang tinggi,” katanya.
kredit to:sinar harian