Khamis, 31 Mac 2011
Cicak tokek dilindungi
GEORGETOWN - Cicak tokek yang dikatakan mempunyai nilai tinggi di pasaran kerana didakwa mempunyai khasiat untuk merawat pelbagai penyakit kini disenarai dan diletakkan di bawah hidupan liar yang dilindungi oleh Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Selain itu, lintah ubat atau nama saintifiknya Hirudo Medicinalis yang diternak oleh ratusan pengusaha di negara ini turut disenaraikan sebagai hidupan liar yang dilindungi.
Penyenaraian itu dibuat selepas Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 (Akta 76) yang sebelum ini terpakai di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi tujuan perlindungan dan pemuliharaan hidupan liar dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Pengarah Perhilitan Pulau Pinang, Jamlun Nasir Ibrahim berkata, skop perlindungan hidupan liar yang termaktub dalam akta baru itu termasuk melindungi haiwan spesies mamalia, burung, reptilia, amfibia, araknida dan serangga seperti kera, ciak tempua, tuntung dan labah-labah.
Menurutnya, perlindungan itu turut meliputi produk yang mengandungi mana-mana bahagian atau terbitan (derivatif) hidupan liar yang dilindungi selain kawalan terhadap operasi zoo, pembiakbakaan dalam kurungan, sarkas, pameran hidupan liar dan penyelidikan.
“Dalam akta baru, cicak tokek atau nama saintifiknya Gekko Gecko dan lintah ubat disenaraikan sebagai hidupan liar yang dilindungi.
“Menjadi kesalahan sekiranya ada pemburu atau penternak menjalankan aktiviti berkaitan hidupan liar yang dilindungi tanpa mendapat kebenaran, lesen, permit atau permit khas dari Perhilitan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabatnya di sini, semalam.
Jamlun berkata, sekiranya dikesan, pemilik haiwan itu berkemungkinan berdepan dengan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Menurutnya, sebarang aktiviti berkaitan hidupan liar seperti yang tersenarai dalam akta itu sama ada dilindungi atau dilindungi sepenuhnya mesti mendapat kebenaran dari Perhilitan terlebih dahulu sama ada melalui lesen, permit atau permit khas
Ini termasuk memelihara, menangkap dan mengambil haiwan itu dari habitatnya, memburu, berniaga dan taksidemi, mengimport atau mengeksport, pembiakan dalam kurungan secara komersil dan pameran.
kredit: sinar harian