Rabu, 30 Mac 2011

Cik Puan Elia Suhana kekal isteri Sultan Ismail



KOTA BHARU – Cik Puan Elia Suhana Ahmad, 32, kekal isteri kedua bekas Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Sultan Yahya Petra, setelah Mahkamah Rayuan Syariah, di sini, semalam, membatalkan permohonan Datin Nik Rorhana Wan Abdul Rahman untuk menyemak keputusan Mahkamah Tinggi Syariah sebelum ini.

Panel tiga hakim dipengerusikan Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Mohamad, memutuskan demikian kerana Nik Rorhana selaku perayu gagal hadir di mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan perayu membayar RM5,000 kepada Elia Suhana seperti dipohon peguam mewakili responden itu, peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan. Responden juga diwakili peguam syarie, Roshdan Sujak Rafie.

Dalam penghakimannya, Hakim Daud yang bersidang bersama Ketua Eksekutif Kias, Datuk Dr Johari Mat dan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ariffin Zakaria mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang sebelum ini memutuskan Elia Suhana masih isteri kedua Sultan Ismail yang sah.:

“Mahkamah mendapati perayu dan peguamnya Zainul Rijal Abu Bakar serta Abdul Halim Bahari tidak hadir hari ini (semalam) dan peguam berkenaan turut menarik diri dalam kes ini.

“Oleh itu, mahkamah membatalkan rayuan dibuat mengikut Seksyen 121(c) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah dan memerintahkan perayu membayar kos RM5,000,” katanya.

Pada 5 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini menolak tuntutan pengesahan lafaz cerai dibuat Nik Rorhana dan mengesahkan Elia Suhana masih isteri kedua Sultan Ismail Petra.

Berikutan itu, Nik Rorhana memfailkan rayuan terhadap keputusan Hakim Syarie, Abdullah Man itu.

Sementara itu, Elia Suhana kelihatan gembira ketika ditemui berkata, beliau bersyukur dengan keputusan mahkamah yang mengesahkan beliau masih isteri Sultan Ismail Petra.

“Perjalanan kes ini pelik. Ia kes rumah tangga melibatkan pihak ketiga. Saya bersyukur dengan keputusan panel hakim hari ini.

Pada 9 Mac 2010, Nik Rorhana, 61, memfailkan permohonan pengesahan cerai talak tiga terhadap Elia Suhana yang dikahwini Sultan Ismail pada hujung 2007.

Cerai berkenaan didakwa dilafazkan baginda ketika dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada 12 Februari 2010 di hadapan beberapa saksi, termasuk Nik Rorhana.
kredit to: kosmo! & sinar harian