AKTRES legenda terkenal dan ikon fesyen antarabangsa, Audrey Hepburn, pernah menyatakan bahawa kecantikan seseorang wanita itu tidak diukur pada pakaian yang digayakan. Sebaliknya, menurut wanita Eropah itu menegaskan, kecantikan itu dinilai menerusi stail dan kecantikan rambut yang dianggap mahkota wanita paling istimewa.
Umum mengakui wanita sentiasa menitikberatkan aspek penjagaan rambut selain wajah dan busana peribadi. Sebab itu, wanita sanggup menghabiskan sejumlah wang semata-mata untuk mendapatkan teknik kecantikan dan rawatan rambut di salon pilihan. Pada masa yang sama, mereka tidak melepaskan peluang mencuba pelbagai stail rambut mengikut trend semasa yang dipaparkan menerusi media cetak dan elektronik. Ia termasuklah terpengaruh dengan gaya rambut kelompok selebriti dan barisan model.
Namun, apa yang menyedihkan, tindakan mencuba-cuba itu telah menyebabkan rambut rosak dan kusam. Ia secara tidak langsung menyebabkan wanita menjadi gerun untuk terus bereksperimen dengan teknik yang digemari.
Ini terbukti menerusi kaji selidik yang melibatkan 1,000 orang wanita. Hasil kajian berkenaan mendapati sebanyak 40 peratus wanita terpaksa berhenti mencantikkan rambut disebabkan faktor-faktor seperti berikut:
Pengering rambut
PENGGUNAAN alat pengering rambut antara penyebab utama kerosakan rambut. Haba panas yang disua pada helaian rambut yang basah menyebabkan rambut menjadi kering dan rapuh.
Melurus dan mengerinting
TAHUKAH anda, produk rambut yang disapu pada rambut sebelum melakukan teknik melurus dan mengerinting akan menjejaskan kesihatan rambut asal. Kedua-dua teknik tersebut bukan sahaja menyebabkan rambut rosak malah hujung rambut turut bercabang serta kering.
Mengikat rambut
IKATAN ala ekor kuda merupakan teknik yang paling popular dalam kalangan wanita di seluruh dunia. Ia mudah untuk dipraktikkan dan membuatkan penampilan tampak kemas dan ranggi. Namun, ramai yang kurang menyedari ikatan gelung getah yang kuat pada rambut menyebabkan rambut gugur dan lama-kelamaan menjadi rapuh.
Mewarnakan rambut
TIDAK dinafikan, saban tahun wanita terdedah pada warna-warna rambut menarik dan menawan. Pilihan itu mendorong wanita tegar menukar rambut hitam mereka untuk diwarnakan dengan rona merah, ungu atau coklat.
“Saya gemar mewarnakan rambut. Tetapi kekerapan melakukan teknik itu menyebabkan saya terdedah pada pewarna yang mengandungi bahan kimia yang menyebabkan rambut saya kasar,” jelas penyampai radio Suria FM, Linda Onn.
kredit to: kosmo!