WAKAF AIK – Seorang kontraktor hanya sempat menggunakan pacuan empat rodanya sehari sebelum ia hangus terbakar dalam kejadian yang berlaku di Jalan Sekolah Menengah Kebangsaan Beris Panchor, tengah hari semalam.
Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Daerah Bachok, Nordin Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.52 tengah hari dan bergerak keluar pada jam 12.53 tengah hari.
Menurutnya, kekuatan sebuah jentera bersama tujuh anggota tiba di lokasi kejadian pada jam 1.10 tengah hari dan berjaya menamatkan operasi pada jam 1.35 tengah hari.
“Kenderaan yang terlibat ini jenis Mitsubishi Storm yang dikatakan dibeli semalam oleh pemiliknya.
“Pemilik kenderaan ini meletakkan kenderaannya di tepi jalan berhampiran tapak projek kerjanya dan seketika kemudian dia melihat kenderaannya berasap dan mengeluarkan api,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.
Dalam pada itu, pemilik pacuan empat roda berkenaan, Wan Noor Zairi Wan Jaafar, 36, berkata, dia cuma mampu menyaksikan kenderaan Mitsubishi Storm yang baru dibeli kelmarin untuk kegunaan syarikatnya dengan harga RM43,000 hangus terbakar di depan mata.
“Saya baru sahaja meninggalkan kenderaan itu di tepi jalan untuk singgah ke tempat projek. Kira-kira 10 minit selepas itu, saya nampak asap keluar dari kenderaan itu sebelum nampak api di bahagian bonet depan,” katanyasemalam.
Mengakui terkejut dengan kejadian itu, namun dia bersyukur kerana kebakaran tidak berlaku semasa dia berada di dalam kenderaan.
Wan Noor Zairi yang bertugas sebagai pengurus projek Wanajitu Construction berkata, dia tidak pasti punca kebakaran namun ada merasai sesuatu yang tidak kena pada kenderaan itu semasa memandunya.