Ghulam Dastager Mayaar menunjukkan lubang yang digunakan ratusan banduan untuk melarikan diri di sebuah penjara utama di Kandahar, Afganistan.
Kira-kira 500 tahanan, kebanyakannya pejuang Taliban melarikan diri dari penjara utama di sini semalam, menerusi terowong dalam penjara yang digali kumpulan berkenaan.
Kejadian di bandar kedua terbesar Afghanistan itu menggambarkan kelemahan berterusan kerajaan Afghanistan di selatan negara itu meskipun terdapat ramai tentera, pembiayaan dan penasihat antarabangsa.
keadaan terowong yang digali
Penjara Sarposa yang boleh memuatkan 1,200 tahanan sebelum ini menjalani kerja naik taraf dan peningkatan dari segi kawalan selepas ia menjadi sasaran serangan Taliban pada 2008 hingga menyebabkan 900 tahanan melarikan diri.
Jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid berkata, kumpulan itu menggali terowong sepanjang 320 meter hingga memasuki kawasan penjara berkenaan. Ia mengambil masa lima bulan, merentasi pusat pemeriksaan tentera dan jalan raya utama.
Mereka berjaya menembusi penjara itu malam kelmarin, membolehkan tahanan melarikan diri melaluinya dengan diketuai tiga banduan yang sudah mengetahui lebih awal mengenai rancangan itu.
Menurut Zabiullah, lebih 500 tahanan dibebaskan dan 100 daripada mereka adalah pegawai kanan Taliban.
Mereka mengambil masa empat setengah jam untuk muncul di hujung terowong yang terletak di bandar Kandahar. - Reuters