Bagi Mat Jusoh Deraman, 62, atau lebih dikenali sebagai Abe Awe Buluh Perindu dalam kalangan masyarakat setempat, serunai membuatkan dirinya dikenali ramai.
Terbaru, Abe Awe menghiburkan kira-kira 100 penumpang yang merupakan rombongan khas Kereta Api Tanah Melayu (KTM) dari Tanah Merah ke Dabong bagi melihat kesan sejarah di sepanjang laluan kereta api tersebut.
Abe Awe berkata, dia begitu teruja sekiranya setiap persembahannya dapat menghiburkan hati setiap pendengar.
Menurutnya, minatnya meniup serunai bermula sejak muda lagi, berikutan itu dia mula belajar sehingga akhirnya dapat meniupnya dengan baik.
“Ramai yang tidak mengetahui rahsia di sebalik bermain alat muzik, bagi saya, ia merupakan satu terapi kesihatan.
“Sehingga kini, saya tidak mempunyai sebarang penyakit, hati dan jiwa yang sentiasa gembira membuatkan saya sentiasa sihat,” katanya.
Abe Awe berkata, kali ini dia gembira dapat menghiburkan penumpang sepanjang perjalanan ke Dabong bersama dengan penyanyi lain seperti Megat Nordin dan bakat-bakat baru dikir barat sekitar Tanah Merah.