Wakil kumpulan itu, Nordin Ahmad (gambar) berkata, pihaknya menemui arca yang dikatakan pernah dimiliki Sultan Perak pertama, Almarhum Sultan Muzaffar Shah secara ‘ritual’ pada 2007 di lokasi Beting Beras Basah, Bagon Datoh, Perak atau lebih dikenali dengan nama Tasik Pawar Janggi.
Menurutnya, arca helang emas yang berukuran lebih kurang 35 sentimeter dan diperbuat daripada emas India seberat enam kilogram turut dikenali sebagai Ganggayu/Langkiu setelah merujuk kepada buku Cempaka Sari tulisan Fauzi Basri yang diterbitkan Yayasan Perak dan dipercayai ada kaitan dengan Kerajaan Kedah Tua.
“Pihak kami membawa artifak ini ke pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan negeri Perak sebelum ini dan pernah berbincang dengan beberapa ahli Exco Kerajaan Perak berhubung urusan ‘penebusan’ artifak ini.
“Bagaimanapun, kami diberitahu Kerajaan Negeri tiada peruntukan untuk ‘menebus’ atau membeli artifak itu, mungkin disebabkan tiada sebarang dokumen dan manuskrip asal yang menjadi bukti menyokong bukti ia pernah dimiliki Almarhum Sultan Muzaffar Shah.
“Kami turut berbincang dengan pengurusan Galeri Sultan Azlan Shah dan Muzium Negeri Perak di Kuala Kangsar, namun turut gagal atas alasan sama,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian.
Nordin berkata, pihaknya kini sedang mencari jalan untuk menyerahkan semula artifak itu kepada Sultan Kedah, Tuanku Sultan Abdul Halim Muadzam Shah berdasarkan salasilah keturunan diraja yang dimiliki baginda sejak zaman pemerintahan Kerajaan Kedah Tua.
Menurutnya, satu rujukan terperinci dengan beberapa pakar dalam pelbagai bidang berkaitan termasuk pakar sejarah di dalam dan luar negara, pengurusan beberapa muzium di negara ini, jurutera cari gali, Jabatan Warisan Negara (JWN), pakar penilaian emas, Jabatan Geosains dan Mineral Ipoh Perak, Teraju Istiadat Negeri Sembilan, pengurup wang, pengumpul barang-barang artifak dan antik dari Singapura, Jepun dan Taiwan dibuat bagi memastikan keaslian arca itu sahih dan mempunyai nilai sejarah.
“Penilaian harganya subjektif dan tidak dapat dijangkakan memandangkan ianya dinilai dari pelbagai sudut iaitu jenis logam, nilai estetika dan usia artifak itu dihasilkan walaupun pernah mendapat tawaran sehingga RM20 juta daripada seorang kerabat diraja Brunei yang gemarkan barangan purba.
“Ada pakar sejarah mengatakan usianya lebih tua kerana ianya mungkin dihasilkan pada zaman Kerajaan Mesopotamia/ Babylon II berdasarkan objek burung itu sendiri yang berkait dengan negara-negara sebelah Eropah Timur dan Asia Barat.
“Manakala pendapat dari Pensyarah Fakulti Sejarah Melaka dan Portugis Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Yahaya Bakar mengatakan ianya mungkin dihasilkan pada zaman pemerintahan Kerajaan Ryukyu (Jepun). Apa pun, kami minta Kerajaan Negeri Kedah mengambil perhatian terhadap niat memulangkan arca itu kepada pemilik asal iaitu waris kesultanan Melayu Kedah, Tuanku Abdul Halim,” katanya.
Nordin berkata, mulanya mereka bercadang menjual artifak ini kepada sesiapa berminat, namun mengubah fikiran.
“Bagi saya, lebih baik ianya disimpan di Kedah untuk rujukan dan pameran bagi generasi akan datang dan mana-mana pihak yang ingin mendapatkan maklumat boleh berhubung terus melalui talian 013-4343144,” katanya.
sumber: Sinar Harian