Isnin, 18 April 2011

Artis dikir barat ditahan

 
TANAH MERAH - Gara-gara berpakaian menyerupai wanita serta mendakwa dirinya wanita ‘sejati’, seorang penyanyi dikir barat terkenal dicekup ketika mengadakan persembahan di sebuah tapak ekspo di bandar ini, malam Jumaat lalu.

Biar pun ramai yang mengetahui dirinya lelaki, namun penyanyi berusia 25 tahun terkenal dengan lagu-lagu Bollywood itu cuba menyakinkan pihak berkuasa agama dengan memberikan alasan terbabit bagi mengelakkan dirinya ditangkap ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 10 malam menerusi Ops Insaf.Tangkapan dilakukan sekumpulan anggota penguat kuasa agama diketuai Rosli Ismail bersama lima Skuad Amru dan tujuh anggota Rela.


Ketika tangkapan dibuat, penyanyi berasal dari Kuala Betis, Gua Musang itu difahamkan baru selesai mendendangkan dua lagu, namun, persembahannya terpaksa dihentikan serta merta sebaik diarahkan pihak penguat kuasa agama.

Sebelum ini, difahamkan lelaki dari masyarakat Orang Asli itu pernah ditahan pihak berkuasa agama Pasir Mas, tahun lalu, di atas kesalahan sama sebelum dikenakan denda sebanyak RM800.

Bagaimanapun, tangkapan tersebut nyata tidak memberikan kesan apabila dia kembali mengulangi perbuatan sama.

Selain lelaki itu, turut ditahan bersamanya adik lelakinya berusia 20an dan juga seorang lelaki berusia lewat 20an, dipercayai rakan sekampungnya bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Agama Islam Tanah Merah, Nik Ahmad Zuhdi Nik Yaacob ketika dihubungi mengesahkan mengenai penangkapan penyanyi dikir barat itu.

“Dia sepatutnya melakukan persembahan kedua malam tadi (kelmarin), namun, terpaksa dibatalkan kerana pihak penganjur melanggar permit yang diberikan.

“Penyanyi itu dijangka dihadapkan ke mahkamah Jun ini kerana didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 7 Kanun Jenayah Syariah kerana berpakaian tidak senonoh dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1,000,” katanya.


sumber : sinar harian