Sabtu, 23 April 2011

Bank lupus hutang ribuan ringgit

 

Seorang ibu tunggal lapan anak tidak menyangka bahawa hutang ditanggung arwah suaminya dilupuskan pihak Bank Rakyat, semalam.

Tengku Ariah Ghani, 44, dari Pasir Mas,  berkata, setelah kematian suaminya, Ismail Ahmad akibat barah pada 2 Jun 2010, dia hilang sumber pendapatan utama memandangkan dia tidak bekerja dan menjaga anak-anak.

“Namun saya terkejut apabila dimaklumkan oleh pihak Bank Rakyat mengenai hutang arwah suami yang bernilai ribuan ringgit dalam pembiayaan kad kreditnya, dihapuskan tanpa syarat.

“Malah, saya turut diberikan sumbangan khairat kematian sebanyak RM1,000 bagi meringankan beban kehidupan kami,” katanya semalam.

Tengku Ariah berkata, sumbangan ini akan digunakan sepenuhnya bagi melunaskan perbelanjaan harian serta perbelanjaan pengajian anak-anaknya yang bakal menduduki peperiksaan tahun ini.

:Menurutnya, anak keenamnya bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala anak ketujuh menghadapi Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahmood Mahyidin.

“Anak bongsu pula bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Pasir Pekan tidak lama lagi.

“Saya terharu dan berterima kasih kepada Bank Rakyat atas sumbangan ini selain menghapuskan hutang arwah suami digunakan sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, pengurus Bank Rakyat cawangan Pasir Mas, Samsiah Mahamad berkata, bantuan ini merupakan satu kemudahan kepada pemegang kad kredit agar ia tidak membebankan pewaris jika pemegang meninggal dunia.

“Kita menyampaikan sumbangan ini kepada dua pewaris pemegang kad kredit Bank Rakyat iaitu Tengku Ariah yang kehilangan suami dan Mohd Khairul Anuar Mohd Zawawi setelah kehilangan bapanya, Mohd Zawawi Awang pada 20 Julai lalu.

“Kita harap bantuan ini bukan sahaja meringankan beban mereka sekeluarga, malah membantu mereka menjalani kehidupan lebih selesa di masa hadapan,” katanya.


sumber:sinar harian