Sabtu, 23 April 2011

Dari Email 1 Malaysia, baik bagi wi-fi percuma

KEPALA BATAS, 21 April: Kerajaan Malaysia patut meniru langkah Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberikan Wi-Fi percuma kepada keseluruhan rakyat bukannya memperkenalkan Email 1 Malaysia yang mempunyai motif tersendiri untuk menyelamatkan kedudukan syarikat Tricubes Berhad yang terumbang ambing.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yussof menegaskan, perbelanjaan RM50 juta wang rakyat demi kroni tidak boleh diterima lagi bahkan patut dihukum dengan memilih Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum akan datang kerana lebih cerdik menggunakan wang kerajaan untuk sesuatu projek.

Beliau mengulas pengumuman kerajaan untuk memperkenalkan email 1 Malaysia. Ia berubah-ubah dari projek kerajaan kepada inisiatif swasta. Media pula mendedahkan syarikat Tricubes Berhad adalah syarikat yang hampir bankrap dan dikaitkan dengan adik perdana menteri, Datuk Seri Nazir Razak melalui Kumpulan CIMB.

Agensi kerajaan yang menggunakan email ini pula akan dikenakan caj 50 sen satu email yang akan diperolehi oleh Tricube sedangkan sebelum ini ia hanya percuma dan tidak akan menggunakan wang rakyat.

Sejak pengumuman ini, saham Tricubes telah naik mencanak di Bursa Malaysia kepada angka yang tidak pernah dicapainya sebelum ini.

"Jika nak sangat bagi jalur lebar untuk meningkatkan prestasi negara lebih baik bagi Wi-Fi percuma pada rakyat bukanya email 1 Malaysia.  Lagipun ramai rakyat dah ada email sendiri termasuk remaja atau pelajar sekolah.  Kita rasa Wi-Fi amat penting kerana ia dapat mengurangkan kos penggunaan internet sepertimana sekarang ia menjadikan syarikat telekomunikasi bertambah kaya buat keuntungan, " terang Yusmadi (gambar) ketika ditemui di majlis Hi-Tea di Nans Food Court, Taman Serdang, Kepala Batas baru-baru ini.

Lagipun katanya, cadangan berkenaan bertujuan mengongkong rakyat terutamanya golongan pemuda agar memberikan sokongan kepada kerajaan sedia ada untuk meneruskan tranformasi yang dibentangkan oleh Perdana Menteri beberapa minggu sebelum menjelangnya tarikh piliharanraya Sarawak.

Selain mempunyai motif yang tersirat barangkali cara itu merupakan taktik Barisan Nasional (BN) melebarkan proganda dan dakyah kepada sasaran dengan lebih mudah terus ke dalam komputer yang mendaftar dengan email 1 Malaysia.

"Dengan kewujudan email yang dipantau oleh kerajaan lebih mudah untuk mereka menyebarkan propaganda bagi menghalang kemaraan Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum ke 13 nanti, " tambahnya.

Program khas sempena perlantikan Adnan sebagai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Pinang Tunggal turut dihadiri oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeAdiLan), Azmin Ali, Ketua Perhubungan KeAdiLan Negeri Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman dan Yang Dipertua PAS Kepala Batas, Rosidi Husain.
 
sumber : Harakah