Guan Eng berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar sudah pasti ditunggu-tunggu jutaan rakyat Malaysia yang sebenarnya tidak berpuas hati dengan saman ekor yang telah sekian lama dipraktikkan oleh PDRM itu.
Menurutnya, selain tidak meneruskan saman ekor yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi itu, Kerajaan Persekutuan dan PDRM juga digesa supaya membatalkan semua saman ekor yang pernah dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya.
Guan Eng yang ditemui di pejabatnya di Komtar berkata, adalah tidak munasabah untuk meneruskan tindakan saman ekor tersebut kerana ia jelas tidak sah dan haram di sisi undang-undang.
“Walaupun menyedari ia akan melibatkan wang jutaan ringgit untuk dibatalkan tetapi ia adalah perlu kerana sebelum ini dua mahkamah telah mengesahkan bahawa saman ekor tidak sah di sisi undang-undang,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Kelmarin, ketika sesi dialog bersama 1,000 belia India pada Majlis Sehari Bersama Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Khalid memberitahu bahawa polis tidak akan lagi menjalankan tugas secara bersembunyi dalam operasi yang melibatkan lalu lintas.
Selain itu, anggota polis juga akan berada di tempat yang dapat dilihat pengguna jalan raya dan mengeluarkan saman serta merta secara terus jika pengguna jalan raya melakukan kesalahan.
sumber: sinar harian