Warga Kelantan menyambut baik usaha Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menganjurkan Karnival Halal Kelantan yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 28 Mei depan.
Karnival yang akan berlangsung di Kompleks Islam Darul Naim, Kota Bharu itu menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti ruang pameran dan jualan selain beberapa seminar antaranya panduan restoran halal serta pensijilan halal untuk industri perhotelan.
Seorang usahawan, Ismail Ibrahim, 29, memberitahu, karnival itu merupakan platform terbaik untuk peniaga dan pengusaha produk memahami pentingnya setiap produk yang dihasilkan bersih dan halal.
Menurutnya, ia akan menjadi medan usahawan Islam bertemu dan bertukar-tukar maklumat di samping menjalin kerjasama untuk memaju dan meningkatkan lagi perniagaan mereka.
"Di Kelantan, kita mempunyai ramai peniaga yang menjalankan perniagaan makanan sama ada melalui industri kecil ataupun secara besar-besaran, jadi ini adalah peluang terbaik untuk mendalami bidang berkaitan terutama prosedur untuk mendapatkan status halal," katanya ketika ditemui semalam.
Seorang lagi usahawan, Mohd. Zamri Zakaria, 25, berpendapat karnival seperti itu pastinya memberi manfaat yang cukup banyak kepada para pengunjung.
"Apa yang penting, kita dapat memahami konsep halal yang sebenarnya dan pendedahan yang diberikan pasti sangat berguna kerana ketika ini terlalu banyak produk di pasaran yang diragui status halalnya," ujarnya.
Bagi Suhaimi Hassan, 33, karnival seperti itu sentiasa dinantikan oleh seluruh rakyat Kelantan kerana ia sudah pasti dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik selain gerai-gerai jualan.
"Penganjuran karnival seumpama ini perlu diteruskan kerana maklumat yang bakal diterima oleh pengunjung kelak pasti dapat mewujudkan kesedaran tentang kepentingan status halal," jelasnya.