Selasa, 19 April 2011

Kenderaan terpakai wajib diperiksa

http://vectorise.net/logo/wp-content/uploads/2010/10/puspakom.jpg
Bermula Jun ini, semua kenderaan bermotor terpakai termasuk motosikal yang hendak dijual wajib menjalani pemeriksaan menyeluruh di Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom).
Peraturan itu bagi melindungi pengguna daripada membeli kenderaan yang tidak selamat untuk digunakan, dicuri atau diubah suai secara haram.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut selaras dengan penguatkuasaan Akta Sewa Beli (Pindaan 2010) yang diluluskan oleh Dewan Rakyat baru-baru ini.
"Kita mahu melindungi kepentingan pengguna supaya mereka mengetahui status kenderaan tersebut yang mungkin pernah mengalami kemalangan atau tidak diselenggara dengan baik menyebabkan kenderaan itu tidak selamat digunakan," katanya 
Ismail Sabri menjelaskan, pemeriksaan tersebut perlu dilakukan setiap kali sesebuah kenderaan melalui proses jual beli.
"Selepas kenderaan itu disahkan selamat oleh Puspakom, satu surat pengesahan dikeluarkan dan mana-mana pihak yang ingin membelinya boleh meminta kepada penjual untuk melihat surat tersebut," jelasnya.
Jelasnya lagi, individu yang gagal mematuhi peraturan tersebut boleh didenda sebanyak RM25,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Ismail Sabri berkata,terdapat 18 bahagian penting pada kenderaan yang akan diperiksa antaranya enjin, brek, nombor kerangka (chasis) dan tayar.
"Jika kenderaan tidak melepasi ujian, pemilik perlu membaiki kenderaan mereka sehingga lulus ujian," jelasnya.