Kejadian jam 5.30 petang di Kilometer (KM) 2, Jalan Tanah Merah Machang (depan Masjid Tepi Sungai) itu menyebabkan lori membawa muatan 4 tan buah mangga yang dibawa dari Rantau Panjang ke Muar, Johor bertaburan di tepi parit sebuah rumah, di sini.
Mangsa, seorang lelaki Melayu berusia 46 tahun berkata, ketika sampai di selekoh berhampiran masjid, dia merasakan lori yang dipandunya terhoyong-hayang.
“Selepas itu saya melihat melalui cermin sisi kiri, buah dalam lori terjatuh,” katanya kepada Sinar Harian di tempat kejadian.
Menurutnya, ketika kejadian dia memandu seorang diri dan akan mengambil seorang lagi pemandu di Machang sebelum meneruskan pemanduan ke Johor.
Menurutnya, sejak 15 tahun lalu membawa lori, inilah kejadian pertama menimpa dirinya.
“Saya bersyukur tidak mengalami sebarang kecederaan dan agak terkejut dengan kemalangan ini,” katanya.
Sementara itu saksi kejadian dikenali sebagai Nah,41, berkata, ketika kejadian dia berada di kedainya yang terletak hanya beberapa meter daripada tempat kejadian.
Menurutnya, dia melihat sebuah lori dari arah Tanah Merah menghala ke tepi sungai.
“Selepas itu saya melihat lori berada dalam keadaan tidak stabil dan pemandunya menekan brek secara mengejut sebelum bakulnya terbalik.
“Ini merupakan kejadian kedua melibatkan lori buah di mana kejadian pertama berlaku sekitar Disember 2010,” katanya.
Pada 1 April lalu, sebuah pacuan empat roda terbabas hanya beberapa meter dari tempat kejadian.
sumber: Sinar Harian