Isnin, 25 April 2011

Mydin labur RM208 juta buka empat premis baru

http://komunitikini.com/wp-content/uploads/2011/03/mydin.gif

PENGENDALI pasar raya besar Mydin, Mydin Mohamed Holdings Bhd, akan membuka empat premis perniagaan baru di negara ini sehingga akhir tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM208 juta. 
http://www.sjecho.com.my/articleimg/20080702_datoameer.jpg
Datuk Ameer Ali Mydin

Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin, berkata dua daripada premis berkenaan akan dibuka di sekitar Ipoh manakala dua lagi di di Seremban dan Johor Bahru.
“Premis di Seremban terletak di Terminal 2 Kompleks Era Baru dan di Nusajaya, Johor Bahru dijangka dibuka untuk perniagaan pada akhir Julai.

“Kami menyewa bangunan di kedua-dua lokasi terbabit, justeru pelaburan kami adalah rendah dengan masing-masing sebanyak RM10 juta dan RM8 juta,” katanya selepas membentangkan kertas kerjanya di Simposium PNB-MIDF sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2011 di Ipoh, Perak, semalam.

Ameer Ali berkata, premis yang akan dibina di Meru Raya, Ipoh berhampiran plaza tol Jelapang, Lebuh Raya Utara-Selatan akan menjadi premis Mydin pertama di bandar raya berkenaan serta terbesar di negara ini.

“Dengan kos sebanyak RM140 juta, premis Mydin di Meru Raya ini akan menjadi pasar raya besar terbesar kami dengan keluasan binaan sebanyak 700,000 kaki persegi. “Usaha pembinaannya sudah bermula dan kami berharap dapat menyelesaikannya pada akhir tahun ini,” katanya sambil menambah pembukaan premis di Meru Raya akan menyediakan kira-kira 600 pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Selain itu, Ameer Ali berkata, pihaknya sudah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa pada minggu lalu untuk membuka pasar raya baru di Ipoh, yang akan bertempat di Manjoi.

‘Premis ini tidak sebesar di Meru Raya dan kami hanya membelanjakan kira-kira RM50 juta,” katanya.

Selain menyediakan pekerjaan bagi penduduk tempatan, Ameer Ali berkata, premis di Meru Jaya akan memberikan peluang perniagaan terutama untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Terdapat banyak ruang perniagaan untuk mereka. Pelanggan tidak hanya berbelanja di pasar raya besar Mydin, tetami juga boleh mendapatkan khidmat menggunting rambut atau menikmati makanan nasi kandar di premis berkenaan," katanya.

Selain keempat-empat premis baru itu, Ameer Ali berkata, syarikat juga sudah mengenalpasti sebanyak 26 lokasi untuk membuka pasar raya besar baru di seluruh negara.

"Kami sudah mengenalpasti lokasi baru. Ia adalah sebahagian daripada rancangan pengembangan kami," katanya yang kini mempunyai sebanyak 80 pasar raya besar Mydin di seluruh negara.

Sementara itu, beliau berkata, Mydin akan terus membantu PKS tempatan dengan memberi akses kepada produk mereka untuk dijual di pasar raya besar Mydin.