Ahad, 15 Mei 2011

Bazar larut malam terbesar




SERI KEMBANGAN – Menawarkan ribuan jenis barangan termasuk pakaian, aksesori telefon, hiasan diri, kasut, makanan dan peralatan aktiviti luar, Mines Downtown yang menempatkan hampir 600 lot gerai di sini menjadi bazar larut malam terbesar di negara ini.

Timbalan Pengerusi Mines Downtown, Gordon Yap berkata, bazar yang mula beroperasi 1 Mac lalu akan dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Dr James Dawos Mamit malam ini.


Menurutnya, sehingga kini sambutan menggalakkan daripada pengunjung diterima pihaknya berikutan lokasi tapak yang terletak berdekatan Sungai Besi, Putrajaya, Bukit Jalil, Seri Kembangan dan Kajang.

“Kini setiap malam kita menerima antara 4,000 hingga 10,000 pengunjung dan jumlahnya meningkat pada Sabtu, Ahad dan cuti umum.

“Memandangkan ia terletak berdekatan stesen Komuter Serdang, memang pengunjung tidak mempunyai masalah untuk datang ke sini kerana ada kemudahan pengangkutan awam,” katanya.

Gordon berkata, bazar berkenaan dibuka pada jam 7 malam sehingga 3 pagi. Pelbagai jenis alat permainan, aksesori komputer serta nurseri yang menawarkan pelbagai jenis tumbuhan.

“Pertandingan karaoke diadakan setiap dua bulan sekali untuk mengasah bakat pengunjung.

“Apa pun orang ramai perlu datang melihat sendiri keunikan bazar ini kerana kita sudah menaik taraf pelbagai kemudahan,” katanya.

Menurutnya, penganjur menunaikan tanggung jawab sosial dengan menawarkan secara percuma lima peratus daripada jumlah keseluruhan tapak kepada orang kurang upaya (OKU) yang tidak mampu membayar sewa.


Sumber: Sinar Harian