Selasa, 24 Mei 2011

Budak lemas dalam kereta bapa

ISHAK (kiri) bersama kakitangan Hospital Raja Perempuan Zainab II melihat kereta Perodua Kancil yang menyebabkan Nor Izyan lemas di Tumpat kelmarin.

  
Seorang kanak-kanak tiga tahun lemas dalam kereta selepas ditinggalkan bapanya hampir sejam berhampiran kawasan Tanah Perkuburan Kampung Morak berhampiran Sekolah Ugama (A) Bustanus Saadah di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi, kanak-kanak perempuan terbabit, Nor Izyan Natasya Ishak dipercayai lemas akibat kekurangan oksigen, bagaimana pun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Wakaf Bharu, di sini.


Mangsa anak bongsu daripada enam beradik dipercayai lemas selepas tertidur bersendirian di tempat duduk belakang kereta milik bapanya itu dengan keadaan semua cermin dan pintu kereta tertutup rapat dan berkunci.


Bapanya, Ishak Salleh, 50, berkata, dia terlupa anaknya tertidur di tempat duduk belakang kerana tergesa-gesa untuk mengusung jenazah bapa sepupu, apabila terus menutup pintu kereta dan menguncinya sedangkan anaknya masih ada dalam kereta terbabit.


“Lagi pun saya sampai lewat di rumah arwah bapa sepupu saya, bila sampai, jenazah dah diusung untuk di bawa ke tanah perkuburan Kampung Morak.


“Disebabkan saya tidak sempat menatap wajahnya buat kali terakhir, apa yang saya fikirkan hanya untuk usung jenazahnya sebagai penghormatan terakhir saya kepada arwah,” katanya yang bekerja sebagai Ketua Pengawal Keselamatan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kota Bharu.


Ishak ditemani mangsa bertolak dari Kampung Belukar Machang jam 9 pagi untuk menziarahi bapa sepupunya di Kampung Morak yang meninggal dunia akibat serangan jantung.


Turut bersama menaiki kereta jenis Perodua Kancil dipandu Ishak dari Machang adalah kakak ipar dan abang iparnya, bagaimanapun apabila sampai di pekarangan rumah arwah bapa sepupunya di Kampung Morak, mereka berdua turun, manakala mangsa tertidur di belakang.


Ishak terus memandu keretanya ke tanah perkuburan dan meletakkan kereta di kawasan sejauh kira- kira 500 meter dari tanah perkuburan dan dengan tergesa-gesa dia terus mengunci keretanya tanpa melihat anaknya di tempat duduk belakang.


Ishak berkata, dia tidak menduga hasrat untuk menziarahi kematian akhirnya bertukar tragedi apabila anaknya mati lemas dalam kereta.


Menurutnya, pada hari kejadian arwah beria beria-ia untuk bersamanya kerana teringin ke rumah emak saudaranya, Che Mas Mohd Salleh, 55, di Kampung Laut selepas selesai pengebumian jenazah itu.


“Isteri saya tidak ikut sama kerana anak-anak yang lain belum pulang dari sekolah, saya hanya bawa arwah seorang saja, memang dia teruja untuk ke Kampung Morak ini apabila memakai baju baru yang dijahit untuk dipakai ketika raya nanti,” katanya.


Menurutnya, dia baru teringat anaknya masih dalam kereta itu sejam selepas selesai pengebumian bapa sepupunya selesai.


“Dengan cuaca panas serta berjalan jauh, saya keletihan, lagi pun saya ada mengidap penyakit kencing manis.


“Saya bagi kunci kereta dan arahkan sepupu agar berlari menuju ke kereta untuk melihat keadaan anak saya itu, manakala saya mengekorinya dari belakang,” katanya.


Sementara itu, seorang saksi, ibu saudara mangsa, Che Mas berkata, dia menyedari anak saudaranya lemas dalam kereta apabila ada penduduk memberitahu ternampak seorang kanak-kanak menangis dalam kereta terbabit.


“Saya terus bergegas ke kereta itu, cuba mengeluarkannya tetapi tidak berjaya kerana tiada kunci sehinggalah ada sepupunya yang dikerahkan Ishak menjenguk mangsa.


“Kami cuba sedaya upaya memberi pertolongan cemas, mangsa lemah sangat, baju kurungnya basah kuyup dan sempat bersuara sebelum di bawa ke klinik Wakaf Bharu.


“Bagaimanapun ajalnya sudah tiba, dia tidak sempat diselamatkan,” katanya.


Arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Belukar Machang kira-kira jam 9 malam kelmarin selepas mayatnya dituntut ahli keluarga di Hospital Tumpat.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.



Sumber: Sinar Harian
foto: Kosmo!