Ahad, 15 Mei 2011

Fosil dijumpai di Mentakab



MENTAKAB - Selepas penemuan fosil di Taman Emas, Lipis yang menjadi tajuk utama Sinar Harian minggu lalu, ahli paleontologi menjumpai satu lagi kawasan singkapan batuan yang mempunyai fosil berusia jutaan tahun di sini.

Penyelidik Sarjana Sains dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) Universiti Ke-bangsaan Malaysia (UKM) yang juga Pegawai Kaji Bumi Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Ahmad Rosli Othman berkata, fosil cengkerang itu ditemui di Jentar pada satu singkapan batuan di kawasan ladang kelapa sawit.


Menurutnya, fosil yang ditemui dalam lapisan batu lodak adalah dari jenis cengkerang dwikatup berkulit nipis yang lazimnya hidup di habitat laut dalam.

“Penemuan fosil marin ini menggambarkan kawasan Temerloh pada suatu ketika dahulu pernah dilitupi laut yang turut didiami hidupan primitif.

“Mentakab sememangnya mempunyai banyak singkapan batuan berfosil terutama pada dedahan singkapan batuan di sepanjang cerun bukit di tepi jalan raya Temerloh-Mentakab,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ahmad Rosli berkata, terdapat banyak rekod fosil didokumentasikan ahli paleontologi dari British dan Jepun sekitar 1950 hingga 1965 di Mentakab.

Menjawab pertanyaan mengenai fosil dan penetapan usianya, beliau berkata, fosil ialah tinggalan atau tempelan bahagian tumbuhan atau haiwan zaman prasejarah akibat proses semula jadi dan terawet dalam batuan sedimen.

Menurutnya, pada tempoh tertentu, terdapat pelbagai jenis hidupan direkodkan ahli paleontologi seperti dinosaur.

“Fosil dapat memberikan gambaran persekitaran di mana ia pernah wujud ratusan juta tahun lampau. Pahang sebenarnya mempunyai banyak lokaliti berfosil. Fosil itu perlu dipelihara seperti menempatkannya di muzium berkaitan untuk tatapan generasi akan datang.

“Pemuliharaan lokaliti geotapaknya adalah penting untuk rujukan atau kajian saintifik tempatan dan luar negeri,” katanya. 

Sumber: Sinar Harian