Ahad, 15 Mei 2011

Gempar jentolak terbabas



LUKUT - Sebuah jentolak yang terbabas sekitar 5 petang kelmarin di Batu 3, Port Dickson - Seremban menggemparkan pengguna jalan raya, dekat sini.

Kejadian yang berlaku di persimpangan Dataran Segar, Lukut melibatkan sebuah jentolak milik Jabatan Kerja Raya (JKR) dari arah Lukut.


Brek jentolak berkenaan dipercayai tidak berfungsi apabila tiba di persimpangan lampu isyarat mengakibatkan pemandu gagal mengawalnya.

Pemandu jentolak yang enggan dikenali berkata, dia dalam perjalanan ke stor JKR di Port Dickson selepas selesai selesai melakukan kerja projek JKR.

“Namun apabila sampai di Taman Sentosa, secara tiba-tiba brek tidak dapat berfungsi dengan baik.

“Akibat daripada itu, kenderaan tidak dapat dikawal lalu melanggar papan tanda Dataran Segar dan pembahagi jalan di situ,” katanya.

Dalam kejadian tersebut, sebuah Proton Perdana yang berhenti ketika lampu isyarat merah turut mengalami kerosakan berikutan terkena batu yang dilanggar oleh jentolak berkenaan.


Pemandu dan penumpang kereta tersebut yang ketika itu dalam perjalanan ke pasar raya sekitar Dataran Segar terperanjat dengan apa yang berlaku. 

Sumber: Sinar Harian