IPOH - Orang ramai berpeluang menyaksikan Keris Laksamana Hang Tuah, Taming Sari yang akan dipamerkan di Galeri Sultan Azlan Shah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar mulai Ahad ini hingga 5 Jun depan. Jurucakap Muzium Negeri Perak berkata, pameran itu diadakan sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak ke-83 tahun ini. "Baginda memberi perkenan supaya keris Taming Sari dipamerkan di galeri pada tarikh tersebut bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang," katanya kepada pemberita di sini semalam. Keris Taming Sari digunakan sebagai salah satu alat kebesaran Diraja Perak dan keseluruhan sarung keris diselaputi dedaun emas. Ia merupakan keris kerajaan bagi jawatan Laksamana Melaka yang akhir sekali dijawat Hang Tuah. Ketika Sultan Mahmud meninggalkan Melaka, baginda membawa keris itu ke Kampar-Sumatera sebelum diberi kepada anakanda baginda, Raja Mudzaffar Shah yang kemudiannya berangkat ke Perak.-Bernama Sumber: Kosmo! |