Rumah yang menjadi latar tempat filem blockbuster Home Alone bakal dijual pada harga RM7.2 juta oleh pemiliknya.
SELEPAS dikagumi dan dihargai jutaan peminat di seluruh dunia pada 1990, sebuah rumah dua tingkat di Chicago sekali lagi menjadi perhatian.
Kali ini, rumah yang menjadi latar tempat filem blockbuster Home Alone - memaparkan pelakon Macaulay Culkin sebagai watak utama - akan dijual.
Dibina pada 1920-an, rumah di North Shore itu dipaparkan bakal dijual pada harga RM7.2 juta oleh pemiliknya.
Rumah menggunakan seni reka kolonial itu terletak di Winnetka, pinggir Chicago, dan diingati sebagai kediaman keluarga McCallister.
Rumah menggunakan seni reka kolonial itu terletak di Winnetka, pinggir Chicago, dan diingati sebagai kediaman keluarga McCallister.
Rumah ini pernah menjadi ‘medan tempur’ Kevin (lakonan Culkin) ketika dia bersendirian berdepan dengan perompak.
Sejak munculnya Home Alone, rumah itu pun mencipta nama dan identiti tersendiri.
Menurut ejen hartanah, Marissa Hopkins, rumah itu boleh dianggap klasik dan sesuai didiami secara berkeluarga.
“Tidak banyak rumah menjadi latar utama sesebuah filem dan pada tahap tertentu, seolah-olah menjadi watak sampingan,” katanya.
Rumah itu mempunyai empat suite utama, selain ruang makan bertemakan kehijauan hutan, serta bilik tidur selesa yang pernah menjadi tempat Kevin bermalam dalam Home Alone.
Reka bentuk rumah itu juga unik kerana mempunyai banyak sudut dan ruang bagi seseorang bersembunyi, sesuai dengan kehendak skrip filem Home Alone.
Dengan bangunan setinggi tiga tingkat, rumah itu mempunyai keluasan 1,295 meter persegi dan terletak tidak jauh dari Tasik Michigan serta perkampungan pinggir bandar.
Pemilik rumah itu, John Abendshien, berkata dia dan isterinya, Cynthia, hanya pernah tinggal di situ selama 18 bulan, sebelum pengarah Home Alone pertama dan kedua, Christopher Columbus, meminta kebenaran membuat penggambaran di situ.
Dua filem berikutnya turut diterbitkan tetapi gagal mendapat sambutan seperti dijangka.
Seorang pengarah juga dikatakan menghubungi pasangan Abendshien baru-baru ini untuk bertanya sama ada ia boleh digunakan bagi penggambaran filem terbaru Culkin, Uncle Buck.
Kata Marissa, keindahan seni reka bentuk rumah itu menarik minat pengarah untuk dijadikan latar filem berkenaan.
Sementara itu, Culkin, 30, populariti dikatakan lebih baik ketika ini berbanding tempoh dia tenggelam sejurus selepas kemunculan Home Alone 21 tahun lalu.
Sebelum ini, Culkin pernah terjebak dalam kontroversi ekoran hubungannya dengan Michael Jackson, selain kes memiliki ganja pada 2004.
Baru-baru ini, Culkin juga disahkan berpisah dengan pasangannya, Mila Kunis, 28, selepas berpacaran sekian lama.
Aksi Culkin semasa babak dalam sebuah bilik mandi yang disambungkan ke master suite
Sumber: Daily Mail & myMetro