Selasa, 3 Mei 2011

Telur tiruan dalam nasi lemak




Telur tiruan yang didakwa pembeli mempunyai perbezaan warna kuningnya agak terang




KOTA BHARU – Hasrat seorang pembeli untuk bersarapan terbantut, apabila menemui telur tiruan dalam nasi lemak yang dibeli di sebuah kedai makan dekat sini, semalam.

Peniaga, Mohd Nizam Mohamed mendakwa, ketika membeli sebungkus nasi lemak terlihat penjual itu mengambil telur dari bawah meja kedai itu.

Menurutnya, dia hairan kerana kulit telur itu tidak berwarna perang, sebaliknya berwarna putih kebiruan.

Menurutnya, sebaik sampai rumah, dia memberitahu isterinya keadaan itu dan terus membuka bungkusan nasi lemak itu.

“Warna kuning telur ini kelihatan agak terang berbeza telur ayam biasa dan bau.

“Jika penjual itu menggantikan telur ayam dengan telur itik mustahil kerana harga telur itik sangat mahal,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Tapang di sini, semalam.

Mohd Nizam berkata, selepas mencari maklumat mengenai telur tiruan dalam Internet dan melihat dengan jelas proses pembuatannya, semakin membuktikan bahawa telur itu tiruan.

“Walaupun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengeluarkan kenyataan bahawa telur tiruan tidak terdapat di Kelantan, tetapi KPDNKK sepatutnya melakukan pemantauan dan siasatan rapi.

“Pengambilan telur tiruan banyak mendatangkan kesan negatif kepada orang ramai dan paling membimbangkan adalah murid-murid sekolah yang membeli makanan di kantin,” katanya.

Menurutnya, masyarakat tentunya tidak dapat membezakan antara telur asal dan telur tiruan kerana ia seakan sama.

Beliau berkata, jika diteliti secara jelas terdapat sedikit perbezaan seperti warna putih telur yang kelihatan agak pekat, mempunyai rongga udara dan tidak mempunyai pusat penghujung.


sumber: Sinar Harian