Impian seorang jurujual kereta di Kangar untuk berkahwin dengan gadis pilihannya berkecai selepas tunangnya itu membatalkan majlis pernikahan mereka melalui satu kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS).
Lebih melukakan hati lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Aizat, 37, kiriman SMS oleh gadis tersebut dibuat kira-kira 11 jam sebelum majlis perkahwinan mereka diadakan di sebuah masjid di Simpang Empat di sini pukul 10 pagi semalam.
Ekoran terkejut dan terkilan dengan keputusan pasangannya itu, Aizat tidak dapat tidur semalaman dan akhirnya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar di sini semalam.
"Saya buat laporan ekoran rasa ditipu dan teraniaya oleh tindakan tunang saya dan keluarga perempuan yang membatalkan majlis akad nikah secara tiba-tiba.
"Saya sepatutnya bernikah dan bersanding hari ini (semalam) di rumah pengantin perempuan, namun impian saya musnah tiba-tiba," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Menurut Aizat, pasangannya yang dikenali sebagai Amira, 20, membatalkan pernikahan mereka atas alasan abang gadis itu yang merupakan wali perempuan berubah fikiran pada saat-saat akhir.
"Dalam SMS itu, Amira kata dia tidak boleh meneruskan perkahwinan kerana abangnya yang patut menjadi wali perkahwinan marah kerana saya pernah menuduh keluarga Amira sebagai zalim," ujarnya.
Menurut Aizat, sebelum itu dia ada terlepas cakap perkataan zalim itu ekoran tertekan dengan keluarga tunangnya itu yang berkeras mahu wang hantaran sebanyak RM8,860 diserahkan sebelum majlis pernikahan diadakan.