Selasa, 8 November 2011

Sultan Kelantan turut menyembelih sendiri lembu korban

http://www.sinarharian.com.my/polopoly_fs/1.4446.1320722492!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_400/image.jpg
Sultan Muhammad V yang berkemeja dan bertopi merah

KOTA BHARU - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V serta Tengku Mahkota, Tengku Muhammad Faiz Petra berangkat ke majlis korban anjuran Majlis Agama Islam Kelantan (Maik) yang diadakan di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, semalam.

Dalam majlis itu, Sultan Muhammad V yang berkemeja dan bertopi merah turut menyembelih seekor dari 42 lembu dan kerbau yang disediakan dalam majlis itu.

Setiausaha Maik, Che Hamat Che Muda berkata, dalam majlis itu Tuanku Sultan turut menyumbangkan seekor lembu dan kerbau sebagai hadiah.

Selain itu katanya, pelbagai agensi termasuk jabatan awam dan swasta termasuk Syarikat Telekomunikasi tempatan, Hotlink turut menyumbangkan beberapa ekor lembu untuk dikorbankan dalam majlis tersebut.

“Pembahagian daging itu diagihkan kepada golongan miskin di kompleks ini sendiri selain beberapa tempat termasuk di Masjid Muhammadi serta Masjid Mukim Panji,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Beliau berkata, acara terbabit merupakan aktiviti tahunan yang sering diadakan di jajahan tersebut.

Turut hadir, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abd. Rahman serta Ketua Wilayah Pantau Timur Maxis Berhad , Mazlan Mokhtar.

Dalam pada itu rata-rata pengunjung yang memenuhi perkarangan kompleks Islam tersebut teruja untuk melihat sendiri Tuanku Sultan yang berkebolehan untuk menyembelih.

Seorang pengunjung, Mohammad Syamsul Anuar Isma 32, berkata, dia kagum Sultan yang mampu menyembelih haiwan yang diketahui bukan sesuatu perkara yang mudah.

“Saya sangat kagum dengan kebolehan tuanku, ini anugerah yang diberikan ALLAH SWT untuk rakyat,” katanya.

sumber: Sinar Harian

Isnin, 7 November 2011

Jadi wanita selepas mencuri


SHEIK AZAHAR (kanan) menunjukkan Pajero yang ditemui semula selepas dicuri
dua lelaki pada sidang akhbar di Jeli, Kelantan semalam.

JELI – Sepasukan polis yang menyerbu sebuah rumah untuk menahan seorang suspek curi kenderaan terkejut apabila mendapati lelaki itu tergamak memakai baju kelawar semata-mata hendak menyamar sebagai perempuan.
Kejadian pukul 7.30 pagi itu berlaku apabila suspek bertindak menyarung pakaian tersebut selepas terperangkap ketika sedang bersembunyi di celah katil di dalam bilik di rumah keluarganya di Kampung Air Merbuk, Tanah Merah.
Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Supritendan Sheik Azahar Sheik Omar berkata, suspek ditahan selepas pihaknya menjalankan siasatan sebaik menerima laporan mengenai kehilangan sebuah Pajero milik seorang petani berusia 64 tahun di Kampung Pasir Dusun di sini pada pukul 1.15 pagi.
Katanya, polis yang menjalankan siasatan kemudian telah terserempak dengan kenderaan itu lalu mengekorinya hingga di kaki bukit Kampung Air Kayan Jedok, Tanah Merah.
“Suspek yang terperangkap kemudian telah meninggalkan kenderaan itu dengan enjinnya masih hidup lalu melarikan diri.
“Polis kemudian telah menjalankan operasi mencari sebelum mengepung rumah suspek berusia 28 tahun lalu menahannya ketika sedang bersembunyi dengan memakai baju keluarga milik ahli keluarga perempuannya,” katanya.

Kosmo!