Rabu, 30 Mac 2011

Guru tumbuk kepala




 
 
BAGAN DALAM - Gara-gara tidak memberi jawapan yang betul berkaitan mata pelajaran Matematik, seorang murid perempuan Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Kuala Prai di sini mendakwa ditumbuk oleh guru berulang kali di kepala, empat hari lalu.

Akibat ‘hukuman’ itu, murid berkenaan, Nur Umi Aisyah Ismail, 11, bukan sahaja kesakitan di bahagian kepala hingga sering pening malah trauma untuk ke sekolah seperti biasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, Nur Umi Aisyah mendakwa guru Matematik itu menghampirinya semasa dia membuat kerja sekolah yang diberikan guru itu.

“Saya sedar guru itu ada di sebelah memerhatikan saya menjawab kepada soalan yang diberi.

“Tiba-tiba saya berasa sakit di bahagian kepala selepas guru itu berulang kali menumbuk bahagian itu sambil memberitahu jawapan yang diberikan salah,” katanya.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, akibat tumbukan kuat yang diterimanya, dia terasa pening dan dalam masa sama menangis kerana malu dilihat oleh 29 rakan sekelasnya.

“Dalam kesakitan saya padam jawapan yang dikatakan salah itu dan cuba membuatnya semula namun tiba-tiba telinga saya dipulas pula oleh guru itu.

“Sebelum berlalu, guru itu juga menarik telinga saya hingga menyebabkan saya hampir terjatuh dari kerusi,” katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Ujung Batu di sini, kelmarin.

Nur Umi Aisyah berkata, dia kemudian memaklumkan kejadian itu kepada ibunya semasa dijemput pulang dari sekolah.

Ibunya, Jamaliah Maani, 49, berkata, dia kesal dan tak berpuas hati dengan kejadian yang menimpa anaknya.

“Saya bergegas untuk berjumpa guru itu namun dia enggan menemui saya,” katanya.

Jamaliah membuat laporan polis berkaitan kejadian itu di Balai Polis Butterworth sejurus selepas itu.

Bapa murid terbabit, Ismail Abdllah, 60, orang kurang upaya (OKU) yang cacat kedua belah kaki juga kesal dengan kejadian yang menimpa anaknya itu.

“Hari ini (kelmarin) Nur Umi Aisyah enggan ke sekolah kerana masih trauma dengan kejadian itu walaupun dipujuk berulang kali.

“Saya bercadang menukarkannya ke sekolah lain kerana sebaik dimaklumkan kejadian itu, Guru Besar sekolah itu seolah-olah enggan mengakui kesalahan kakitangannya,” katanya.

Usaha Sinar Harian mendapatkan penjelasan daripada sekolah itu tidak berjaya apabila Guru Besar, Muhamad Zainalee Ibrahim enggan mengulas dan menyerahkan perkara itu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seberang Perai Utara (SPU).

Sementara itu Pegawai Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara, Abu Bakar Muaz yang dihubungi enggan mengulas lanjut kerana belum mendapat laporan penuh mengenai kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian itu Jumaat lalu.