Rabu, 30 Mac 2011

Penduduk rugi ribuan ringgit

KUALA KRAI - Penduduk di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Slow Pak Long, dekat Dabong, kerugian ribuan ringgit apabila rumah dan kenderaan mereka ditenggelami air berikutan banjir kilat melanda kawasan penempatan itu, pagi kelmarin.

Setiausaha KRT itu, Shamsul Bahari Suhaimi berkata, selain kira-kira 50 kediaman dinaiki air lebih semeter dan memaksa penghuninya berpindah, banjir kilat berlaku awal pagi itu, turut menenggelamkan empat kereta penduduk.

Menurutnya, antara kawasan paling teruk terjejas ialah berek pekerja Ladang Sungai Teku apabila kira-kira 30 rumah dinaiki air dan Kampung Slow Pak Long yang menyaksikan taman asuhan kanak-kanak (Taska) Permata di kampung itu turut dimasuki air banjir.

“Bagaimanapun, penduduk berpindah tidak lama kerana banjir surut sepenuhnya menjelang tengah hari,” katanya.

Menurutnya, banjir kilat itu berikutan hujan lebat melanda kawasan terbabit sejak jam 2 hingga 5 pagi hari kejadian.

Shamsul Bahari berkata, walaupun tidak lama banjir kilat itu lebih teruk daripada banjir musim tengkujuh lalu apabila banyak jalan sekitar kampung itu ditenggelami air dan menyebabkan penduduk terputus hubungan.

“Penduduk terlibat tidak sempat bersedia kerana banjir berlaku tanpa dijangka selepas hujan lebat turun ketika penduduk nyenyak tidur,” katanya.

Sementara itu, Shamsul Bahari mengucapkan terima kasih kepada anggota KRT Slow Pak Long atas kerjasama diberikan bagi melancarkan operasi memindahkan mangsa banjir kilat tersebut.

“Tugas anggota KRT terbabit bagaimana pun tidak seberat mana kerana penduduk hanya berpindah sebentar sahaja dan kami tak perlu sediakan makanan berbanding ketika banjir musim tengkujuh,” katanya.

kredit to : sinar harian