Rabu, 30 Mac 2011

Pengalaman ‘dikejar’ parang

KOTA BHARU - Pengalaman dikejar pengguna menggunakan parang semasa menjalankan kerja pemotongan elektrik tidak pernah mematahkan semangat kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Bagi penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), Wan Aziz Wan Ibrahim, 53, yang kini berjawatan Ketua Pembantu Tadbir di jabatan kewangan, namun pengalaman semasa operasi tetap tersemat di ingatan.

“Selama 32 tahun berkhidmat dengan TNB, dua kali saya mengalami pengalaman dikejar dengan parang oleh pengguna di Tumpat dan Bachok menyebabkan saya terpaksa mengelak diri semasa ditugaskan di unit perkhidmatan pengguna dan pemasaran.

“Namun, semua yang dihadapi tidak mematahkan semangat, malahan saya jadikan ia sebagai sebahagian cabaran untuk terus bekerja dengan lebih rajin,” katanya kepada Sinar Harian selepas menerima APC di pejabat TNB negeri di sini.

Beliau berkata, adegan dikejar pengguna dengan parang terjadi apabila ada di kalangan pengguna yang tidak faham dengan tugas semasa operasi pemotongan dan marah kerana risau rumah mereka bergelap.

Menurutnya, biasanya kes seperti itu berlaku kepada pengguna tegar yang mempunyai bil elektrik yang banyak dan tidak dapat membayar bil berkenaan menyebabkan mereka tertekan.

“Sebagai pekerja, kita mempunyai Indeks Prestasi Utama (KPI) dan pengguna perlu faham dengan tugas yang diamanahkan, malahan mereka dinasihatkan jangan marah kepada pekerja berkenaan.

“Perkara tunggakan bil elektrik boleh dibawa berbincang, pekerja ada keluarga mereka sendiri, jangan pula sebab marah ia boleh menyebabkan nyawa petugas itu terancam,” katanya.

Menurutnya, ekoran dikejar, beliau mengambil tindakan lain dengan memaklumkan hal berkenaan ke pejabat TNB dan pihaknya menjalankan tindakan susulan bagi meredakan suasana.

Beliau kini sudah dua kali menerima APC dan menghargai ilmu yang diberikan pihak TNB dalam mengembangkan perkhidmatannya.

kredit to: sinar harian