Kanak-kanak yang tersepit kaki kirinya dalam lubang tandas, Mohamad Fakrul Hakim Mohd. Fauzi, kini mengalami trauma kerana tidak menyangka kejadian itu boleh menimpanya.
Menurut ibu kanak-kanak tersebut, Norliatun Razali, 32, anak sulung daripada tiga beradik itu kini enggan memasuki tandas di rumah mereka di Taman Krubong Perdana di Jasin, Melaka.
"Dia tidak mahu masuk ke tandas di bahagian belakang rumah itu dan sekarang ini, dia hanya mahu menggunakan tandas di bilik tidur utama.
"Mungkin dia masih terbayang kejadian yang berlaku semalam dan trauma dengan apa yang berlaku," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumah keluarganya di Kampung Air Merbau di sini, hari ini.
Dalam kejadian pukul 6 petang semalam, murid Tahun Dua, Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam itu sedang mandi bersama adiknya, Mohamad Fakrul Haziq, 6, sebelum kaki kirinya tergelincir ke dalam lubang tandas dan gagal dikeluarkan.
Ekoran kejadian itu, anggota bomba terpaksa dipanggil dan mengambil masa kira-kira dua jam untuk memecahkan permukaan seramik tandas tersebut bagi mengeluarkan kaki kiri kanak-kanak terbabit yang tersepit.
Menurut Norliatun yang bertugas sebagai guru, mujur Mohamad Fakrul Hakim tidak mengalami kecederaan serius.
"Selepas insiden itu, keadaan kaki anak saya kelihatan baik dan tidak perlu dirawat malah tidak cedera apa-apa pun, cuma selepas kejadian, dia berjalan terhincut-hincut, mungkin lama sangat kakinya tersepit.
"Keadaan kakinya itu nampak baik cuma dia masih trauma dengan kejadian itu," katanya yang mendiami rumah tersebut sejak lapan bulan lalu.