Ahad, 5 Jun 2011

Jam tangan mesra alam


SPROUT menawarkan empat pilihan rekaan kepada pengguna.

SEUTAS jam tangan yang menghiasi pergelangan tangan melambangkan identiti dan status pemakainya. Jenama, rekaan dan perinciannya antara faktor yang diambil kira untuk disesuaikan dengan penampilan setiap individu.
Justeru, bagi mereka yang cintakan alam sekitar dan mahu menonjolkan komitmen ke arah persekitaran sihat, Sprout memberikan pengalaman itu.
Koleksi jam tangan Sprout terbaru terdiri daripada empat rekaan menawan untuk peminat jam tangan yang mahukan identiti baru.
Tampil dengan tujuh warna pilihan, tali jam tangan Sprout diperbuat daripada kapas organik. Pokok kapas itu yang tidak menggunakan baja bahan kimia itu dapat menyelamatkan tanah daripada kesan sampingan buruk termasuklah kepada haiwan.
Tali jam Sprout turut menggunakan pewarna sayuran dan resin jagung sebagai salah satu material semula jadi yang melengkapkan penampilan mesra alam.
Bateri jam tangan pula menggunakan bateri bebas merkuri sepenuhnya.
Gancu dan bekas jam tangan ini juga menggunakan resin jagung sepenuhnya. Bahan-bahan itu dihasilkan tanpa menggunakan minyak, sekali gus ia menjimatkan penggunaan sumber alam semula jadi. Dalam erti kata lain, ia menggunakan bahan-bahan buangan bagi mengelakkan pembaziran.
Kanta jam tangan ini pula diperbuat daripada kristal mineral, tidak seperti kebanyakan kanta jam tangan yang menggunakan plastik. Namun, ia tetap kelihatan seperti kaca.
Permukaan dalam jam tangan Sprout adalah bahagian yang paling unik kerana menggunakan buluh dan mutiara. Kedua-dua bahan ini memerlukan masa yang singkat untuk tumbuh dan menggunakan tenaga yang kurang untuk dituai berbanding bahan semula jadi lain.- Kosmo!