Selasa, 19 April 2011

Warga emas maut terminum cuka getah


KEADAAN Mok Lijoh semasa dirawat akibat terminum cuka getah sebelum meninggal dunia di HRPZ II di Kota Bharu semalam.


Seorang warga emas yang dirawat di hospital sejak seminggu lalu akibat terminum cuka getah yang disangkanya air oren akhirnya meninggal dunia semalam.
Mangsa, Lijah Mamat, atau dikenali sebagai Mok Lijoh berusia 88 tahun, dari  Kg Kelar, Pasir Mas menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 6.10 pagi di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
Menurut anak lelaki mangsa, Abdullah Che Wook, 63, arwah dimasukkan ke hospital itu akibat terminum cuka getah pada Selasa lalu.
Menceritakan kejadian tersebut, katanya, mangsa ketika itu berada di rumah bersama emak saudaranya, Siti Hawa Ibrahim, 77.
“Sambil berbual-bual, emak saya kemudian menuang air yang disangkanya air oren ke dalam gelas lalu meminumnya.
“Bagaimanapun, dia mengadu rasa air itu sangat pelik. Emak saudara saya kemudian merasa minuman itu, tetapi meludahnya semula kerana ia adalah cuka getah,” ceritanya ketika ditemui pemberita di rumahnya dekat sini semalam.
Menurut Abdullah, ibunya dipercayai terminum cuka getah itu kerana tidak dapat melihat air tersebut ekoran matanya rabun.
"Dia memang gemar dengan minuman bikarbonat berperisa oren dan banyak stok minuman itu disimpan di rumah," katanya lagi.
Abdullah berkata, arwah kemudian mengadu sakit perut dan dibawa ke Klinik Kesihatan Kangkong  sebelum dirujuk ke Hospital Pasir Mas.
Namun, jelasnya akibat kecederaan dalaman yang agak teruk, arwah telah dihantar ke HPRZII untuk rawatan lanjut bagi membersih serta mengeluarkan sisa-sisa cuka di dalam perutnya.
Jelasnya, jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kg Kelar Tok Pulai dekat Pasir Mas kira-kira pukul 4 petang semalam.