IKAN bakar ala Portugis menjadi kegemaran ramai. Selain mudah disediakan, ia juga harum dan memikat selera. Anda boleh sediakan dan bungkus untuk dipanggang atau barbeku di tempat perkelahan. Ia memang sesuai sebagai hidangan dengan nasi.
Ikan yang sering menjadi pilihan ialah ikan pari jenis kecil. Selain itu, ikan bawal atau kembung. Pastikan anda mengelar isinya supaya kuah mudah meresap. Jika menggunakan ikan besar, anda boleh bungkus sepotong untuk hidangan seorang saja. Oleh kerana kuahnya masak sekali dengan ikan, kemanisan ikan tersebut tetap kekal.
Cara memasak dengan membakar atau memanggang juga lebih menyihatkan daripada cara menggoreng dengan minyak yang banyak. Malah, ia juga tidak mengandungi santan yang boleh memudaratkan kesihatan jika dimakan terlalu kerap.
Jika tidak sukakan bau daun limau purut, boleh gunakan daun kunyit, daun kemangi atau daun jintan. Ia akan mewangikan hidangan dan pasti membuka selera sesiapa saja. Keharuman herba ini juga dapat menghilangkan bau hanyir ikan. Anda juga boleh lumur ikan dengan jus limau nipis seketika supaya baunya hilang. Kemudian barulah dibasuh dan dilumur pula dengan garam.
Masakan ini menggunakan pes cili atau cili boh. Anda boleh membuatnya sendiri di rumah dengan mengisar cili kering hingga halus. Pastikan cili dibuang bijinya terlebih dulu dengan cara menggunting serong. Rendam di dalam air mendidih selama 20 minit. Kemudian barulah dikisar dengan garam dan air masak. Dengan meletakkan garam, pes cili tahan lebih lama. Simpan di dalam bekas bertutup yang diletak di dalam peti sejuk.
Cili merah dan cili padi juga dimasukkan sekali. Biji cili merah hendaklah dibuang untuk mengurangkan pedasnya. Jika anda suka lebih pedas, tambah cili padi atau boleh hiriskan dan taburkan di atasnya sebelum dipanggang.
Jika hendak dimasak di atas bara api, tidak perlu dibungkus dengan foil. Begitu juga sekiranya anda masak di atas kuali leper atau kuali capati. Kuali begini tebal dan dapat mengekalkan kepanasan. Semasa memanaskannya, pastikan api besar. Kemudian barulah diperlahankan apinya.
Jika memanggang dengan daun pisang sahaja (tanpa foil), pastikan ia dua lapis. Kemudian sapu bahagian luarnya dengan sedikit minyak. Ini dapat menghalang daun tersebut menjadi hangus. Sekiranya memanggang dengan daun pisang, bau ikan lebih harum.
Untuk mengekalkan kesegaran daun pisang, bungkus dengan suratkhabar. Kemudian letak di atas beg plastik dan bungkus kemas. Simpan di rak bawah di dalam peti sejuk. Daun pisang untuk membungkus kuih-muih perlu dilayur terlebih dulu. Selain melayur di atas api perlahan dengan memegang kedua-dua hujung daun pisang, anda juga boleh merendamkannya di dalam bekas berisi air mendidih sehingga lembut.
Bagi yang tidak suka menggunakan jus limau nipis, boleh digantikan dengan jus limau kasturi atau jus lemon (limau susu). Ambil hanya satu camca besar jus. Jika suka masam bolehlah ditambah. Selain itu, boleh juga gunakan air asam jawa yang pekat. Jangan sesekali lupa untuk mencampurkan gula supaya rasa masamnya dapat diseimbangkan.
Sekiranya anda mahu mengubahsuai resipi, anda boleh gunakan dada ayam tanpa tulang. Ia mesti dikelar terlebih dulu supaya mudah masak. Jangan lupa tambah satu cm halia ke dalam bahan kisar. Halia dapat mengurangkan bau ayam yang mungkin kurang enak pada sesetengah orang.
Belacan yang dipanggang di atas api atau digoreng dalam minyak yang sedikit akan mengharumkan masakan. Ia juga tahan lebih lama berbanding dengan belacan yang tidak digoreng. Bagi yang tidak sukakan bau belacan mentah, boleh menggunakan serbuk belacan yang dijual di dalam botol.
Jika mahukan ikan atau ayam lebih garing, buka bungkusan pada penghujung lima hingga lapan minit selepas memasak. Pastikan memasang gril (elemen pemanas bahagian atas). Ini boleh dilakukan jika anda memanggang di dalam ketuhar.
Ikan akan masak jika bahagian matanya bertukar menjadi keputih-putihan. Sajikan dengan segera kerana isi ikan menjadi liat (terutama bila sejuk) jika terlebih masa memasaknya. Ikan seperti pari kecil atau dikenali sebagai tuka tidak memerlukan masa yang panjang untuk masak kerana isinya yang nipis.
Seandainya anda membuatnya dalam kuantiti yang banyak, setelah dibungkus, simpan di dalam bekas bertutup yang diletak di dalam peti sejuk. Ia tahan selama 48 jam. Rasa ikan juga menjadi lebih sedap kerana bumbunya sudah meresap ke dalam ikan tersebut.
sumber : Norzailina Nordin