Rabu, 27 April 2011

Lancar perjalanan dengan XXL 550

http://www.utusan.com.my/pix/2011/0425/Utusan_Malaysia/Sains_&_Teknologi/st_02.1.jpg
Selain memiliki reka bentuk yang terkini, XXL 550 juga mudah dilaras mengikut kehendak dan keperluan pemandu.



Antara model terbaru dari TomTom dalam siri L untuk kategori Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) kereta, XXL 550 kini muncul dengan pelbagai aplikasi menarik.
Hadir bersama skrin sesentuh lima inci, XXL 550 turut dilengkapi peta bagi Malaysia, Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia.

Biarpun kelihatan sama seperti model sebelumnya, namun paparan skrin yang lebih luas menjanjikan kepuasan dan memudahkan pengguna melihat peta yang dipaparkan.
XXL 550 didatangkan bersama tapak yang mudah untuk dipasang dan ditanggalkan.
Ia sekali gus mudah untuk di simpan dan di bawa ke mana-mana.

Biarpun saiz bagi XXL 550 telah dibesarkan namun berat peranti tersebut masih dikekalkan.
Pada asasnya, XXL 550 direka untuk tujuan mesra pengguna. Setiap aplikasi yang ditawarkan mudah untuk dikendalikan.

Sentuh sahaja ikon Navigate anda akan diberi pilihan untuk menentukan hala tuju berdasarkan pilihan ikon Rumah, Bandar, Alamat mahupun Kegemaran.
Kemudian, taipkan alamat dan lihat ringkasan laluan anda seterusnya mulakan perjalanan berpandukan peta yang dipaparkan pada skrin.

Antara aplikasi lain ialah 'Lane Assist atau Panduan Lorong Terdahulu di mana mampu menentukan jalan atau lorong yang tepat untuk dilalui oleh anda.
Ia bertujuan agar anda tidak terlepas selekoh pada persimpangan lebuh raya mahupun jalan biasa.

Seterusnya, Jaminan Peta Terbaru antara masa peranti dikeluarkan dan masa seseorang itu membeli GPS tersebut.
Setiap pengguna GPS ini boleh memeriksa keluaran peta yang terbaru dalam masa 30 hari bermula peranti tersebut dibeli dan digunakan.

Jika peta baru telah tersedia, anda hanya perlu memuat turun peta tersebut secara percuma melalui Internet.
Ia boleh dilakukan melalui aplikasi TomTom Home atau aplikasi desktop percuma yang disediakan setiap kali peranti tersebut disambungkan kepada komputer dirumah anda.
TomTom juga menawarkan Perkhidmatan Kemaskini Peta percuma selama setahun sebanyak empat kali kemas kini melalui kerjasama pengeluar peta digital terkemuka iaitu Tele Altas.
Manakala aspek keselamatan pengguna di atas jalan raya juga merupakan sesuatu yang amat perlu dititikberatkan.

Justeru, XXL 550 turut dikembangkan bersama ciri-ciri bertaraf dunia seperti pilihan keselamatan peribadi bagi mengurangkan gangguan daripada mesej dan amaran yang tidak diperlukan.
Selain itu, maklumat berkenaan perkhidmatan kecemasan kini berada dihujung jari anda dengan hanya menyentuh ikon Bantu Saya!.

Anda juga boleh melindungi data peribadi yang disimpan didalam peranti ini melalui kata laluan.
Namun, paling menarik adalah aplikasi TomTom Map Share, di mana anda boleh berkongsi maklumat tentang perubahan jalan raya bersama pengguna GPS Tomtom atau XXL 550.
Ia merupakan perkhidmatan percuma yang membolehkan anda membuat pembetulan pada peta anda sendiri dan kongsi bersama pengguna XXL 550 yang lain.

Namun, peranti ini juga mempunyai kelemahan tertentu. Pengguna diingatkan agar sentiasa memastikan peta dikemas kini bagi mengelakkan tersesat apabila menggunakan laluan berdasarkan paparan peta yang lama.
Kadang kala, ia juga menunjukkan laluan yang lebih jauh berbanding laluan yang sepatutnya.

Justeru anda perlu meneroka dan meneliti secara keseluruhan, baca panduan penggunaan dan memahami cara penggunaan peranti ini dengan baik.
Peranti GPS ini merupakan panduan semata-mata. Justeru, bagi alamat dan laluan baru di kawasan luar bandar di negara ini, maklumat mengenainya agak terhad.



sumber: Utusan Malaysia