Selasa, 19 April 2011

Pengeluaran mudah wang KWSP

http://www.danawarisan.com/perancangan-kewangan_files/kwsp.jpg

Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini boleh memohon pengeluaran umur 50, 55 tahun dan simpanan melebihi RM1 juta dengan lebih mudah.
Penambahbaikan yang baru diperkenalkan itu membolehkan ahli memohon pengeluaran berkenaan dengan mudah tanpa perlu mengisi borang, menyertakan salinan kad pengenalan dan buku akaun bank.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol dalam kenyataan hari ini berkata, inisiatif pengeluaran mudah itu dilaksanakan bagi mempercepatkan proses permohonan pengeluaran bagi tiga kumpulan itu.
Katanya, dengan inisiatif baru itu, ahli yang ingin membuat pengeluaran tersebut hanya perlu membawa bersama kad pengenalan dan buku akaun ke mana-mana kaunter perkhidmatan KWSP.
Katanya, perkhidmatan itu khusus untuk pemegang MyKad sahaja dan kelulusan boleh dibuat serta-merta setelah identiti ahli dan kelayakan pengeluaran disahkan.
Bagaimanapun, Azlan berkata, ahli yang memiliki kad pengenalan tentera atau polis atau yang masih menggunakan kad pengenalan lama tidak boleh menikmati kemudahan itu.
Katanya, mereka perlu melalui proses pengeluaran biasa dengan mengisi Borang KWSP 9 dan mengemukakan salinan kad pengenalan serta salinan buku akaun bank.
Azlan menjelaskan, dengan jumlah ahli yang kian meningkat, adalah amat penting bagi KWSP memastikan penambahbaikan sistem penyampaian melalui teknologi diteruskan.
“Ahli diberi jaminan bahawa data dan maklumat peribadi mereka dilindungi berdasarkan tahap keselamatan yang diwujudkan melalui pensijilan ISO/IEC 27001 yang diterima KWSP setelah mematuhi standard antarabangsa yang ketat untuk pengurusan keselamatan data,” katanya. – BERNAMA