Selasa, 19 April 2011

Norazlin dirayu pulang

 
TANAH MERAH –Pasangan suami isteri, Ibrahim Ismail,64, dan Che Yam Mohamad,51, dari Kampung Dalam Pondok Kelewek di sini merayu anak gadisnya, Norazlin Ibrahim,21, yang hilang dari rumah sejak 23 hari lalu supaya pulang ke pangkuan keluarga kerana mereka terlalui merinduinya dan bimbang keselamatannya.

Norazlin anak kesepuluh daripada 11 beradik keluar daripada rumah pada 25 Mac lalu untuk ke tempat kerja di salah sebuah siber cafe di bandar Tanah Merah.


Ibrahim berkata, kira-kira jam 12 tengah hari, Norazlin menghubunginya supaya mengambilnya daripada tempat kerja.

Menurutnya, dia tidak dapat berbuat demikian kerana mahu ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

“Tidak lama kemudian Norazlin menelefon adiknya memberitahu dia hendak ke Kota Bharu dan akan pulang lewat.

“Bagaimanapun, sehingga lewat malam, dia tetap tidak pulang sehinggalah ke hari ini,” katanya.

Ibrahim berkata, pada malam kejadian dia cuba menghubungi Norazlin menerusi telefon bimbitnya, tetapi gagal kerana nombor itu tidak dapat dihubungi.

Menurutnya, pada hari kehilangannya, Norazlin memakai baju berbelang hitam putih, seluar jean berwarna gelap dan bertudung putih.

“Sejak Norhazlin tidak pulang, pelbagai cara kami lakukan untuk mengesannya, antaranya menggunakan khidmat bomoh.

“Kami turut mengadakan solat hajat, malah setiap hari kami menghubunginya, tetapi tetap gagal,” katanya.

Ibrahim berkata, sekiranya sesiapa mengenali anaknya dan menjumpainya, segera memaklumkan kepadanya.

Menurutnya, dia sekeluarga sentiasa menunggu kepulangan Norazlin dengan selamat.

“Saya berharap Norazlin akan pulang sebab tidak ada perselisihan faham berlaku, dia juga tidak pernah menceritakan apa-apa masalah kepada keluarga,” katanya.

Laporan polis berhubung kejadian telah dibuat pada 26 Mac lalu.Ibrahim boleh dihubungi di talian 019-9904588. 

sumber: sinar harian