Rabu, 11 Mei 2011

Rumah hangus, rugi RM170 ribu






TANAH MERAH - Kediaman milik pasangan suami isteri, Mohd Abd Kohar,46, dan Normaskanah Yaakub, 41, di Kampung Tengah, Bukit Durian, di sini musnah dalam kebakaran kira-kira jam 7 malam semalam.

Mohd Abd Kohar berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri serta dua orang anak berusia 11 dan lima tahun berada di kebun.


Menurutnya, dia keluar ke kebun pada sebelah pagi sementara isteri dan anaknya ke kebun kira-kira jam 2.15 petang.


“Walau pun rumah dan segala dokumen penting musnah terbakar, tetapi saya bersyukur anak-anak dan isteri selamat. Saya juga bersyukur senjata api selamat biarpun lesennya turut musnah dalam kebakaran ini kerana membawanya ke kebun semalam,” katanya.


Mohd berkata, ketika hampir sampai ke rumahnya, dia melihat kepulan asap tetapi tidak menduga kediamannya yang musnah.


Menurutnya, ketika sampai ke rumahnya, dia amat terkejut melihat api yang sedang membakar hampir keseluruhan bahagian rumahnya.


Sementara isterinya, Normaskanah berkata, lemah longlai badannya sebaik melihat kediaman yang ditinggalkan dalam keadaan baik musnah dalam sekelip mata.


Menurutnya, rumah tersebut merupakan peninggalan orang tuanya dan dia tinggal di rumah tersebut sejak dilahirkan.


Normaskanah berkata, antara barang yang musnah dalam kebakaran seperti periuk dan pinggan mangkuk yang belum pernah digunakan.


Menurutnya, dia turut menjumpai barangan kemas yang hangus di sebalik timbunan sisa kebakaran semalam.


“Hanya barang kemas yang saya jumpa semalam itu pun ada yang telah terputus, yang lain semuanya musnah. Bagaimanapun saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang hadir menyumbangkan bantuan,” katanya.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Mohamed Saamah berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 7.03 petang memaklumkan tentang kejadian tersebut.


“Sampai di tempat kejadian, kira-kira 80 peratus rumah telah terbakar. Kerugian dianggarkan kira-kira RM170,000 dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. Jumlah kerugian kelmarin adalah yang paling tinggi di Tanah Merah tahun ini berbanding dua kes sebelumnya.



sumber: Sinar Harian