Jumaat, 20 Mei 2011

Juruterbang berketurunan Siam peluk Islam




Seorang juruterbang jet pejuang berketurunan Siam dari No 11 Skuadron Pangkalan Udara Gong Kedak secara sukarela memeluk Islam di pangkalan itu minggu lepas.

Keindahan Islam mendorong juruterbang berkenaan, Kapten Veerajuth, 27, tertarik memeluk Islam setelah mendalaminya sejak beberapa tahun lalu.

Beliau yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan yakin dengan niatnya dan majlis pengislamannya berlangsung di Masjid Ar-Raudhah, Pangkalan Udara Gong Kedak yang disaksikan sendiri Komander Pangkalan, Brigedier Jeneral Mohd Faudzi Ahmad.

Beliau mengucapkan kalimah syahadah di hadapan Pegawai Agama Pangkalan dengan nama Islamnya Mohammad Kasyfi Mahdi Katqew Abdullah.

Mohd Faudzi berkata, majlis itu adalah satu peristiwa bersejarah pangkalan dan bersyukur menerima saudara baru.

“Beliau yang bertugas di pangkalan ini bermula November tahun lalu secara sukarela ingin memeluk Islam tanpa paksaan atau dorongan mana-mana pihak dan itu adalah hak beliau,” katanya. 


Sumber: Sinar Harian