Jumaat, 20 Mei 2011

Parit Buntar hangat kerana Bob Lokman




Kehadiran pelakon dan penulis lirik lagu Isabela, Bob Lokman ke Parit Buntar mendapat sambutan hangat daripada masyarakat di kawasan itu.

Peminat, Naser Hasan, 33, berkata, dia begitu teruja apabila berkesempatan bertemu Bob Lokman.

Menurutnya, usaha Dewan Pemuda Pas Parit Buntar membawa Bob Lokman ke Parit Buntar amat dihargai.

“Saya tidak sangka hasrat ingin bertemu Bob Lokman tercapai dan turut merakam kenangan bersama pelakon yang saya minati sejak tahun 90-an lagi.

“Walaupun beliau telah menyertai Pas, saya tetap akan menjadi peminatnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda Pas Parit Buntar Ahmad Fairus Mohamad berkata, Pemuda Pas Parit Buntar telah mengatur beberapa program sempena kehadiran Bob Lokman ke Parit Buntar.

Menurutnya, antara program yang diadakan adalah Tazkirah Subuh di Surau Mujahiden, Kampung Kedah, bertemu peminat di Pasar Ahad Titi Serong dan Minum Petang di Dewan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin.

“Orang ramai mengambil kesempatan untuk bertemu dan beramah mesra dengan Bob Lokman.

“Sambutan hangat dapat diperhatikan semasa beliau bertemu peminat di Pasar Ahad Titi Serong,” katanya.

Ahmad Fairus berkata, selain Bob Lokman, artis seperti Akill Hayy, Ito Blues Gang dan Ringgo Arrow telah menyertai Pas lebih awal.

Menurutnya, pihaknya juga merancang akan membawa Pak Jabit yang merupakan pelakon filem ”Hantu Kak Limah Balik Rumah ‘ ke Parit Buntar.


Sumber: Sinar Harian