Jumaat, 6 Mei 2011

Sultan Muhammad V bakal temu jodoh

pix_gal0
Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V


KOTA BHARU - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, yakin akan menemui jodohnya sekali gus bakal menjadi permaisuri baginda lebih-lebih lagi dengan sokongan dan doa dari pemimpin masyarakat.

Dalam satu sidang akhbar khas di Istana Negeri, Kubang Kerian, kelmarin, baginda kelihatan tersenyum apabila menjawab soalan wartawan mengenai jodoh pilihannya selepas menaiki takhta Kelantan, tahun lalu.


Sultan Muhammad, 42, yang mudah membahasakan diri baginda sebagai ‘saya’ atau ‘kita’ berharap berkat doa pemimpin dan pembesar negeri serta sahabat, perkahwinan baginda akan menjadi kenyataan.
 

"Jadi saya fikir dengan berkat doa Tok Guru (Menteri Besar, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat), datuk-datuk, sahabat-sahabat, Insya-Allah (perkahwinan) akan berjaya," titah baginda. 
Baginda yang terkenal dengan sifat suka mendekati rakyat dengan berkopiah dan berjubah, adalah putera sulung Sultan Ismail Petra.


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhisQVr15Yej3u5lh6rdo5a8RpVp0jyu3VCD7JGLc-zpPyvlZcyEJFJozae25tMeovWd3OwEDa0plQikqKbKJbKe68E-L8-1Ba-g9kpOE7R-FpojfvVhXYi49eZEaiTuZSJVo91csOUpnDb/s1600/sultan.jpg
Baginda terkenal dengan sifat suka mendekati rakyat dengan berkopiah dan berjubah

Turut hadir pada sidang media itu, Pengelola Istana, Datuk Ahmad Mahmud dan Ketua Istiadat, Datuk Abd Halim Hamad.

Sidang media itu pertama kali diadakan Sultan Kelantan sejak baginda dimasyhurkan pada 13 September tahun lalu, dengan menumpukan pelancaran Yayasan Sultan Kelantan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di KLCC, esok.

Baginda dan bekas isteri, Tengku Zubaidah Tengku Norudin, tidak dikurniakan cahaya mata.

Menyentuh mengenai krisis yang melanda Istana Kelantan sebelum ini, baginda bertitah tidak perlu memikirkan terlampau mendalam mengenai isu tersebut sebaliknya reda dengan ketentuan Allah SWT.

“Kita tak boleh fikir sangat, sebab kalau kita fikir banyak sangat, kita akan jadi pening, jalan terbaik adalah reda, kita tunggu dan lihat apa yang berlaku, kalau kita fikir takdir, kita letak dia takdir. Kalau kita nak fikir banyak sangat, memang tidak boleh fikir sebab otak manusia tidak sampai ke tahap itu,” titah baginda.

Menjawab satu soalan, baginda menyatakan alasannya untuk menukar “Daulat Tuanku” kepada bertakbir “Allahu Akbar” kerana: “Saya fikir ataupun mungkin ilham, ini paling sesuai kerana sesiapa yang bercakap (bertakbir) dapat pahala.”

Mengenai yayasan itu, baginda bertitah yayasan itu dijangka akan mengumpul dana sebanyak RM5 juta bagi tujuan kebajikan, termasuk pendidikan dan keagamaan.

”Saya mahu yayasan ini menolong orang miskin sehingga menjadi berdikari supaya boleh mencari pendapatan sendiri,” titah baginda.