Jumaat, 1 April 2011

3 maut dalam kemalangan ngeri


BEBERAPA anggota bomba cuba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Gua Musang kelmarin.
 
GUA MUSANG - Hasrat dua sahabat untuk menganjur pertandingan suara burung candik secara besar-besaran pada Sabtu ini (esok) tidak kesampaian apabila mereka maut dalam kejadian kemalangan ngeri di Kilometer 47.9 Jalan Gua Musang - Kuala Krai, dekat sini, petang kelmarin.

Mangsa, Mat Dahri Yusoff, 35 seorang peniaga kedai makan di bandar ini bersama Pengawal Keselamatan Kampung Tanah Puteh, Sa’ade Mohd, 38, dipercayai dalam perjalanan pulang selepas mengambil piala yang ditempah untuk pertandingan itu di Kuala Krai.

Mereka maut akibat cedera parah selepas tersepit dalam kereta Produa Kancilnya dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 6.30 petang berhampiran Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Paloh Satu.

Turut maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk lori kontena, Produa Kancil dan treler angkut kenderaan itu pemandu lori kontena, Muhammad Fathimy Hassan, 29 berasal dari Pedas, Negeri Sembilan manakala kelindan, Mohamad Zukhairi Baharom, 22, terselamat.

Kejadian itu berlaku semasa tiga kenderaan tersebut dalam perjalanan sehala dari Kuala Krai menuju ke Gua Musang dan terkejut dengan sebuah lori sarat muatan tong gas yang rosak di hadapan.

Pada mulanya treler angkut kenderaan yang menekan brek mengejut sebelum dirempuh Produa Kancil yang dinaiki dua lelaki dan disusuli pula sebuah lori kontena yang memandu laju merempuh Produa Kancil itu bersama treler berkenaan dari arah belakang.

Berikutan kejadian itu, pemandu lori kontena, Muhammad Fathimy hampir putus leher terkena besi treler angkut kenderaan manakala dua lelaki menaiki Produa Kancil pula terperosok bawah lori berkenaan dan kesemua mereka meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut Isteri Sa’ade, Wan Rosmah Wan Harun, 29, berkata, arwah suami memang ada memberitahunya untuk menganjurkan pertandingan suara burung candik pada Sabtu ini (esok) di Taman Tasik Bandar Gua Musang.

Katanya, memang tujuan arwah pergi ke Kuala Krai untuk mengambil piala yang ditempah untuk tujuan itu kerana semakin kesuntukan masa untuk berbuat demikian.

“Hanya yang saya terkilan dia hendak pergi ke Jeli dahulu sebelum ke Kuala Krai dan tidak diberitahu tujuannya, tetapi saya tetap reda dengan kehilangan suami tersayang itu,” katanya semasa ditemui di Hospital Gua Musang (HGM).

Beliau berkata, arwah bersama Mat Dahri memang rakan baik kerana kerap menganjurkan pertandingan suara burung dan jarang berpecah untuk ke mana sahaja.

“Tidak sangka keakraban mereka berdua akhirnya mati bersama dan saya yang menerima mengenai kejadian kemalangan itu pukul 9 malam terus bergegas ke HGM,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Aziz Hassan semasa dihubungi mengesahkan berlaku kejadian kemalangan ngeri menyebabkan tiga maut di tempat kejadian.

Mayat mangsa kemudian di hantar ke HGM untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing awal pagi semalam untuk dikebumikan.