Ahad, 10 April 2011

500 nama diserah pada polis


ABDUL HADI beramah mesra dengan pelajar SMK Gual Periok di Kem PLKN Cancun Park, Rantau Panjang semalam


PASIR MAS - Kesemua nama 500 calon yang ingkar dan gagal menghadiri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebelum ini akan diserahkan kepada pihak polis untuk dipanggil semula menyertai kumpulan kedua siri kelapan program tersebut yang bermula 15 Mei depan.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, kesemua mereka ini diwajibkan menghadiri sesi kali ini kecuali mereka yang diberi penangguhan dan pengecualian.
"Kita telah pun menyerahkan nama-nama mereka yang ingkar menyertai PLKN sebelum ini kepada pihak polis untuk membuat siasatan.
"Ia kemudiannya akan dirujuk kepada Peguam Negara sebelum keputusan untuk memanggil semula mereka dibuat.
"Sekiranya ada yang masih ingkar, mereka akan dikenakan tindakan di bawah Akta Khidmat Negara 2003 pindaan 2009 penalti khidmat komuniti.
"Jika sabit kesalahan, mereka akan dikenakan denda khidmat komuniti sehingga 240 jam," katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Perkhemahan Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan Gual Periok, Rantau Panjang di Kem PLKN Cancun Park dekat sini semalam