Selasa, 5 April 2011

Ajal dihempap motosikal ibu


ORANG ramai melihat keadaan motosikal dan mayat Mohd. Danial yang maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Kubang Kerian, Kota Bharu kelmarin.


KOTA BHARU – Tindakan seorang ibu yang membawa dua anaknya menunggang motosikal untuk membeli nasi kukus pada waktu malam mengundang padah apabila salah seorang kanak-kanak itu maut dalam kejadian di Jalan Kubang Kerian, dekat sini kelmarin.
Lebih menyedihkan apabila kepala Mohd. Danial Zamri, 5, pecah akibat dihempap motosikal yang ditunggang ibunya selepas tiga beranak itu tercampak sebaik bergesel dengan sebuah lori yang datang dari arah sama dalam kejadian pukul 8.45 malam tersebut.
Dalam kejadian itu, ibu kanak-kanak tersebut, Rinawati Lilianita Mohd. Idris, 25, dan adik Mohd. Danial, Mohd. Zarif Hakimi, 3, cedera dan dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. Ketika kejadian, mereka dari arah Kubang Kerian ke Binjai.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, selepas bergesel, ketiga-tiga beranak tercampak dengan Mohd. Danial dihempap motosikal tersebut lalu meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, polis telah mengambil keterangan pemandu lori berusia 46 tahun dari Jerteh, Terengganu untuk membantu siasatan.

sumber : kosmo!