Selasa, 12 April 2011

Anggota polis dan adik cedera dibelasah


KUALA TERENGGANU – Akibat perselisihan faham berhubung siapa yang sepatutnya menjaga seekor kura-kura, seorang anggota polis dan adiknya cedera dibelasah lima lelaki dalam satu pergaduhan berhampiran sebuah pasar raya di Permaisuri, Setiu, semalam.
Kejadian pada pukul 7.30 malam itu berlaku apabila seorang pengawal keselamatan berusia 22 tahun itu dilaporkan ingin menyerahkan seekor kura-kura untuk dijaga oleh seorang kawan wanitanya berusia 20-an.
Bagaimanapun, secara tiba-tiba datang dua lelaki dipercayai kawan kepada wanita itu terus mengajak mangsa ke belakang bangunan pasar raya itu dan akibat tidak puas hati dengan tindakan itu telah membelasah mangsa.
Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Supritendan Rohaizat Abd Ani berkata, mangsa sempat menghubungi abangnya berusia 26 tahun yang merupakan seorang anggota polis yang bertugas di daerah Setiu.
Semasa abang mangsa cuba meleraikan pergaduhan, secara tiba-tiba datang tiga lagi lelaki dengan dua daripadanya membawa dua bilah parang dan melibas mangsa dan akibatnya anggota polis itu cedera di bahagian bawah mata manakala adiknya cedera di pergelangan tangan, katanya.
Kelima-lima suspek yang berumur antara 20 hingga 30-an itu kemudian dilihat menaiki kereta jenis Honda CRV berwarna hitam dan dipercayai melarikan diri menghala ke Jertih. – Bernama