Sabtu, 9 April 2011

Diiktiraf monumen kebangsaan


STESEN KTMB Tanjung Pagar di Singapura dikekalkan sebagai monumen kebangsaan.


SINGAPURA - Kerajaan Singapura akan mengekal dan memelihara bangunan stesen kereta api di Tanjung Pagar dan Bukit Timah di sini kerana kedua-duanya mempunyai unsur sejarah yang signifikan.
Untuk tujuan itu, Majlis Pemeliharaan Monumen (PMB) mewartakan Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Tanjung Pagar sebagai monumen kebangsaan manakala Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) mewartakan Stesen Kereta Api Bukit Timah sebagai bangunan yang dipulihara, kata pihak berkuasa terbabit dalam satu kenyataan semalam.
Ketika pemukiman pada 24 Mei tahun lepas, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan rakan sejawatan dari Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Stesen KTMB akan dipindahkan dari Tanjung Pagar ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) menjelang 1 Julai 2011.
Kedua-dua pemimpin itu juga bersetuju agar bangunan stesen kereta api di Tanjung Pagar dan Bukit Timah dipulihara atas faktor sejarah.
Dengan perpindahan Stesen KTMB Tanjung Pagar ke WTCP pada 1 Julai ini, kedua-dua stesen terbabit akan berhenti beroperasi sebagai stesen kereta api.
Pengarah PMB, Jean Wee berkata, pewartaan stesen kereta api itu adalah untuk mengiktiraf keunikan struktur dan kewujudannya sebagai stesen kereta api utama di Singapura.
Beliau berkata, sejak 80 tahun lepas, Stesen KTMB Tanjung Pagar menjadi satu-satunya nadi pengangkutan kereta api yang menghubungkan Singapura dan Malaysia.
"Stesen itu akan terus menjadi mercu tanda sekalipun penggunaannya berbeza, sebagai mencerminkan keutuhan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dan juga rakyatnya," kata beliau. - Bernama