Ahad, 3 April 2011

Fathia takut kucing


FATHIA berhasrat meneruskan karjaya seni walaupun setelah bergelar peguam.


TINGGALKAN DUNIA LAKONAN
Apabila saya sudah memiliki firma guaman sendiri, mungkin saya akan meninggalkan dunia lakonan tetapi itu masih jauh memandangkan sekarang baru di tahun dua pengajian.
Buat masa ini, saya meminati kedua-dua bidang, undang-undang dan seni, selagi ada tawaran lakonan dan peminat masih mahu melihat saya, bidang lakonan akan diteruskan.

IPAD 2 DAN GALAXY TAB

Saya tidak meminati gajet-gajet terutama gajet yang menggunakan teknologi skrin sentuh. Lebih puas rasanya menggunakan komputer riba dan saya hanya menggunakan telefon bimbit jenama BlackBerry. 

TEMPAT MELUAH PERASAAN

Ibu dan adik perempuan ialah insan yang menjadi pilihan untuk saya meluahkan segala-galanya. Merekalah orang yang paling rapat dengan saya malah setiap rahsia saya adalah rahsia mereka.

KONFLIK DI LIBYA DAN BENCANA DI JEPUN

Sudah tentu bencana gempa bumi dan tsunami di Jepun kerana ia melibatkan jumlah kematian yang ramai sehingga mencecah puluhan ribu orang malah memberi kesan kepada ekonomi. Konflik di Libya juga melibatkan kematian tetapi ia merupakan konflik dalaman sesebuah negara.

HAIWAN PELIHARAAN

Sejak kecil lagi ibu dan bapa tidak membenarkan kami adik-beradik memelihara kucing kerana ada antara kami yang menghidap lelah. Kini saya jadi takut dengan haiwan walaupun ada kucing yang comel dan terasa mahu menyentuhnya.

CUN! DAN DALAM BOTOL
 
Saya akan menonton kedua-dua filem tersebut sebagai sokongan kepada filem Melayu tetapi kerana sekarang waktu amat genting, sibuk dengan belajar jadi susah sikit untuk pergi menonton.

IBU dan adik perempuan sering menjadi pendengar setiap keluh-kesah Fathia.


NAMANYA kini sedang mendaki puncak namun, Nur Fathia Abd. Latiff, 24, rela menolak banyak tawaran demi segulung ijazah.
Pelakon yang pernah muncul ayu bertudung itu sedang berada dalam saat-saat terakhir bagi menghadapi peperiksaan akhir semester dalam jurusan undang-undang.
"Saya terpaksa tolak tawaran kecuali sebuah drama yang akan memulakan penggambaran dua hari selepas peperiksaan tamat," kata Fathia yang akan menghadapi peperiksaan selama empat hari bermula 20 April nanti.
Kali ini, dia bakal berganding dengan aktor yang sudah dikenali ramai, Fizz Fairuz, dalam sebuah drama bersiri berunsur Islamik yang akan ditayangkan di saluran Al-Hijrah.
Mengisahkan pasangan yang mendapat pelbagai tentangan kerana membuka sebuah hotel di kawasan pelacuran, penonton sekali lagi bakal melihat Fathia dengan imej bertudung.