Isnin, 11 April 2011

10 kisah menarik Fidel Castro


MARADONA menemui Castro pada 27 Oktober 2007. - REUTERS
Di bawah ini disenaraikan beberapa perkara menarik dan aneh pemimpin itu yang pernah menarik perhatian penduduk dunia.
Falsafahnya
Pada 2001, sebuah kumpulan rock dari Wales, Manic Street Preachers menjadi ahli muzik pertama dari Barat mengadakan konsert di Cuba dalam tempoh 20 tahun.
Sebelum konsert itu berlangsung, anggota kumpulan itu bertemu dengan Castro dan mereka memberi amaran kepada pemimpin itu bahawa muzik yang bakal mereka mainkan mungkin terlalu bising.
Bagaimanapun, pemimpin itu membalas: “Bunyi peperangan adalah lebih bising”.
Cubaan membunuh
Sekiranya pepatah lama menyatakan kucing mempunyai sembilan nyawa tetapi Castro dipercayai musuhnya mempunyai lebih 600 nyawa.
Bekas Pengarah Keselamatan Cuba, Fabian Escalante pernah mendedahkan bahawa terdapat sebanyak 638 cubaan membunuh Castro sejak 1959.
“Sekiranya terselamat daripada cubaan membunuh dimasukkan dalam salah satu acara dalam Sukan Olimpik, saya sudah tentu memenangi pingat emas,” kata Castro
GAMBAR fail ini menunjukkan Castro (kiri) duduk bersama adiknya, Raul di Perhimpunan Kebangsaan Cuba, Havana.



Rancangan agensi (CIA)
Dalam banyak-banyak cubaan membunuh itu, CIA dilaporkan menggunakan pelbagai cara aneh untuk menghapuskan pemimpin tersebut.
Agensi itu dipercayai pernah merancang untuk mengepam masuk sejenis dadah berbahaya ke dalam studio televisyen Castro supaya seluruh dunia boleh menyaksikan pemimpin itu mati secara langsung.
Beberapa ejen rahsia CIA juga pernah merancang untuk meletakkan sejenis racun berbahaya ke dalam jenama curut kegemaran Castro.
Cerut
Castro mula merokok seawal usia 15 tahun lagi tetapi mula menghentikan tabiat yang kurang sihat tersebut 44 tahun selepas itu.
Terdapat khabar angin menyatakan bahawa bekas Presiden AS, John F. Kennedy mengarahkan seorang pekerjanya membeli 1,000 cerut dari Cuba sebelum menandatangani sekatan perdagangan terhadap Havana pada 1962.
Besbol
Castro merupakan peminat nombor satu sukan paling popular di Cuba itu dan beliau juga boleh bermain permainan itu dengan baik.

CASTRO bermain besbol menentang pasukan pilihan Venezuela pada 28 Oktober 2000.


Terdapat khabar angin yang menyatakan pasukan Besbol AS iaitu New York Yankees dan Washington Senators pernah cuba untuk memancing beliau pada 1940-an.
Walaupun Castro tidak pernah bermain untuk mana-mana pasukan atau mewakili negaranya tetapi pasukan besbol Cuba pernah memenangi tiga pingat emas dan satu perak dalam Sukan Olimpik.
Janggut
Penyanyi legenda dari kumpulan rok Queen, Freddie Mercury terkenal dengan misai yang pelik, Pemain bola sepak popular, David Beckham terkenal dengan tatu di badannya manakala Castro pula paling terkenal dengan janggutnya.
Bakat lakonan
Percaya atau tidak pemimpin bersuara lantang itu mungkin menjadi seorang aktor terkenal di Hollywood sekiranya tidak menceburkan diri dalam bidang politik.
Pada tahun 1940-an Castro bekerja sebagai pelakon tambahan di Hollywood dan pernah muncul dalam filem muzikal, Holiday in Mexico serta filem romantik komedi, Easy to Wed.
Castro juga mungkin pernah berlakon dalam filem You Were Never Lovelier bersama dengan pelakon terkenal, Fred Astaire dan Rita Hayworth tetapi beliau tidak gemar bercerita berhubung perkara itu.
Pemegang rekod dunia
Castro berbangga kerana memegang rekod dunia Guinness Book of Records bagi membuat ucapan paling lama dalam perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila berucap selama 4 jam 29 minit pada tahun 1960.
Rakan-rakannya yang terkenal
Model terkenal, Naomi Campbell, pemain bola sepak legenda, Diego Maradona, pengarah terkenal, Steven Spielberg dan Oliver Stone serta Datuk Bandar London, Ken Livingstone adalah rakan Castro.
Maradona juga sangat menyanjungi pemimpin itu dan dia juga mempunyai tatu potret Castro di kaki kirinya.
“Bagi saya Castro umpama dewa,” ujarnya.
Sementara itu Stone, pernah menghasilkan satu filem dokumentari berhubung Castro.
IKON FESYEN
Castro sebelum ini sangat sinonim dengan seragam tenteranya yang berwarna hijau tetapi beliau juga pernah dilihat memakai beberapa pakaian lain.