Isnin, 11 April 2011

Treler bawa beras terbalik


ORANG ramai mengaut beras yang tumpah daripada sebuah treler yang terbalik di lebuh raya dekat Bukit Tambun semalam.


SEBERANG PERAI - Lalu lintas di Kilometer 150, Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Bukit Tambun di sini semalam sesak lebih 10 kilometer apabila sebuah treler membawa muatan 18 tan beras terbabas lalu terbalik di laluan itu.
Kejadian kira-kira pukul 4.15 petang itu menyebabkan kesesakan luar biasa hampir lima jam setelah petugas lebuh raya berkenaan menutup sementara laluan tersebut.
Kesesakan menjadi bertambah buruk gara-gara tindakan segelintir pengguna lebuh raya itu yang memberhentikan kenderaan dan mengutip ratusan guni beras yang bertaburan di jalan raya.
Kekecohan turut berlaku ekoran tindakan segelintir pemandu yang tidak sabar lalu membuat pusingan U di tengah-tengah kesesakan di Plaza Tol Juru yang terletak kira-kira empat kilometer dari tempat kejadian.
Jurucakap PLUS Expressway Berhad memberitahu, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta menukar haluan dari kanan ke kiri lebuh raya secara tiba-tiba menyebabkan treler berkenaan yang berada di laluan sama hilang kawalan lalu terbalik.
"Sebuah kren dibawa ke tempat kejadian mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengangkat dan mengalihkan treler berkenaan yang terbalik di tengah-tengah lebuh raya," katanya itu ketika ditemui di tempat kejadian semalam.


sumber : kosmo!