KOTA BHARU – “Saya dengar suara halus yang menyuruh saya ambil duit itu. Suara itu juga suruh saya tikam (gadis-gadis itu), tetapi saya tidak tikam.”
Demikian dakwaan seorang penganggur yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan merompak dua gadis dan melarikan wang sebanyak RM150 di sebuah pasar mini di Pasir Puteh dekat sini dengan bersenjatakan sebilah pisau pada awal April lalu.
Tertuduh Mohd. Zamri Awang, 32, memberitahu demikian semasa memohon hukumannya diringankan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.
“Saya menghadapi tekanan jiwa sejak terlibat dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2000. Kepala saya pecah Yang Arif. Saya tidak boleh kena panas.
“Sehingga sekarang saya makan ubat sakit mental. Masa kejadian itu, saya makan ubat banyak. Saya mahu masuk wad gila,” kata tertuduh yang berasal dari Kampung Nara, Pasir Puteh itu.
Berikutan pengakuan ‘mengejut’ tertuduh itu, Rofiah tidak menerima pengakuan salah yang dibuat oleh Mohd. Zamri.
Rofiah kemudian memerintahkan supaya tertuduh dirujuk dan dimasukkan ke mana-mana hospital sakit mental terlebih dahulu selama sebulan.
Hakim itu kemudian menetapkan 11 Mei ini untuk mendengar laporan mental dari hospital sakit mental.sumber : kosmo!