Isnin, 4 April 2011

Perompak jawab salam

 

AMPANG – Seorang daripada sekumpulan lima perompak menjawab salam sebelum mengikat suami isteri dalam rumah mereka di Kampung Tengah di sini, Jumaat lalu.

Beberapa orang lagi sempat makan telur dan nenas diambil dalam peti ais sebelum melarikan diri bersama barang-barang kemas dan wang tunai berjumlah RM30,000.

“Mungkin disebabkan saya memberi salam membuatkan mereka baik hati dan tidak mengasari kami,” kata Mohd Said Din, 65, yang rumahnya dipecah masuk lima lelaki dipercayai warga asing.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, Mohd Said sedang tidur manakala isterinya, Rozana Md Dugel, 56, belum tidur kerana anaknya baru sahaja keluar bekerja.

Mohd Said berkata, dia terkejut apabila pintu biliknya ditendang tiga kali sehingga pecah.

“Kami terkejut kerana sebaik sahaja pintu itu dipecahkan, mereka masuk dan mengacukan parang.

“Saya sempat memberi salam kepada mereka dan salah seorang daripada mereka membalas,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Pasangan suami isteri itu tidak dicederakan, tetapi diikat kedua-dua belah tangan menggunakan wayar seterika serta wayar pengecas bateri.

Menurutnya, empat daripada lima suspek bertopeng menutupi separuh wajah itu bersenjatakan dua bilah parang serta kuku kambing.

Mohd Said percaya kesemua suspek itu warga Indonesia berdasarkan loghat pertuturan mereka.

“Mereka ambil barang kemas, tiga jam tangan pelbagai jenama, tiga telefon bimbit serta wang tunai RM2,000. Jumlah kerugian dianggarkan RM30,000.

“Walaupun kehilangan jam tangan yang dihadiahkan isteri, tetapi saya bersyukur kami tidak dicederakan kerana keselamatan kami lebih berharga,” katanya.

Mohd Said berkata, isterinya masih trauma setiap kali teringat peristiwa itu.