Sabtu, 9 April 2011

Diperdaya 'Haji Karim'


ZAINUDIN menunjukkan salinan laporan polis yang dibuatnya selepas mendakwa ditipu seorang lelaki bernama Haji Karim di Melaka semalam.



MELAKA - Gara-gara teruja ditawarkan projek pembinaan stor di sebuah sekolah, seorang kontraktor kerugian RM1,000 apabila ditipu seorang lelaki yang dikenali sebagai 'Haji Karim'.
Mangsa, Zainudin Muhamad, 46, berkata, dia telah dihubungi lelaki yang mendakwa dirinya pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Melaka Tengah itu pada Selasa lalu.
Dakwanya, lelaki itu menawarkannya projek untuk membina sebuah stor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Molek di sini bernilai RM98,000.
"Apabila saya bersetuju dengan tawaran itu, Haji Karim telah meminta saya memberi sumbangan kepada pihak sekolah sebanyak RM2,500.
"Bagaimanapun, saya hanya bersetuju memberi sumbangan sebanyak RM1,000 dan memasukkan wang itu ke dalam satu akaun bank atas nama Linda Marlina Sanin," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Zainudin berkata, dia kemudian telah menghubungi Haji Karim untuk memaklumkan bahawa wang telah dimasukkan.
"Dia telah meminta saya datang ke pejabatnya di PPD Melaka Tengah kononnya untuk berjumpa pengetua SMK Ayer Molek.
"Bagaimanapun, apabila tiba di pejabat tersebut, saya diberitahu tiada pegawai bernama Haji Karim di pejabat berkenaan," ujarnya.
Menurut Zainudin, dia yang berasa curiga lantas menghubungi lelaki itu yang kemudian mendakwa dia telah keluar dan meminta menunggunya di sebuah stesen minyak di Ayer Molek.
Ujarnya, apabila tiba di stesen minyak tersebut, dia cuba menghubungi lelaki terbabit beberapa kali namun panggilannya tidak dijawab.
"Ketika itu saya menyedari saya telah ditipu dan kemudian membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah pada Rabu lalu," katanya.

sumber : kosmo!